Pendakwah bebas popular saman orang kuat Najib

Pendakwah bebas popular saman orang kuat Najib

AHMAD HUSAM MUHAMAD BADERUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Husam Muhamad Baderudin telah memfailkan saman fitnah RM5 juta terhadap empat individu termasuk seorang pegawai khas kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Berdasarkan writ saman yang dilihat Utusan Malaysia, empat penama berkenaan termasuklah dua dipercayai pernah menjadi pegawai khas kepada Najib.

Dua lagi individu yang dinamakan Ahmad Husam adalah mereka bersekongkol dengan kedua-dua individu tersebut.

Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar melalui firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad, pada 14 Disember lalu.

Peguam, Muhammad Asyraf Abd. Aziz mewakili anak guamnya itu mengemukakan saman setelah notis tuntutan yang dikeluarkan pada 13 November lalu tidak mendapat sebarang respons daripada defendan.

Katanya, Ahmad Husam selaku plaintif mendakwa salah seorang daripada mereka menerbitkan satu hantaran di laman Instagram beliau: “Sesiapa nak tengok Ustaz Scammer boleh pi standby kat Mahkamah Kangar esok (22/6/23) pagi, lebih kurang pukul 8.30am.”

Manakala seorang lagi telah menulis dan menerbitkan pelbagai kenyataan fitnah antaranya melalui satu video yang dimuat naik di Facebooknya dengan menuduh Ahmad Husam kononnya sebagai seorang penipu, menyalahgunakan wang derma orang ramai dan wang zakat.

Sehubungan itu, plaintif menegaskan bahawa kenyataan-kenyataan fitnah yang diterbitkan oleh defendan dalam notis berkenaan adalah berniat jahat bagi memberi kesan serta gambaran buruk kepada orang ramai bahawa plaintif adalah seorang ‘penunggang agama yang tidak amanah, penipu dan tidak boleh dipercayai’.

Di dalam saman fitnah tersebut, Ahmad Husam mendakwa bahawa kesemua kenyataan-kenyataan yang dibuat mereka bukan sahaja memfitnahnya, tetapi tuduhan jahat itu dibuat setelah beliau enggan membayar RM400,000 kepada mereka.

Wang sebanyak RM400,000 itu sebagai ‘wang penyelesaian’ bagi satu siasatan pihak polis terhadap Ahmad Husam.

Pendakwah bebas itu antara lain telah menuntut ganti rugi am sebanyak RM5 juta, permohonan maaf daripada defendan-defendan, satu perintah supaya defendan-defendan tidak mengulangi kenyataan fitnah seumpamanya, perintah supaya kenyataan-kenyataan fitnah berkaitan dipadamkan oleh defendan-defendan dan ganti rugi teruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN