SELAYANG: Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas yang merupakan pemilik rumah yang disewanya, dua minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohamad Amirul Arshad Zainudin, 22, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chai Guan Hock.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Hong Kee Ing, 70, di parkir kereta Jalan E4/1, Taman Ehsan di sini antara pukul 8.30 malam, 22 November dan 9.50 malam pada 23 November lalu.
Berikutan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes bagi laporan forensik, kimia dan bedah siasat.
Semalam, media melaporkan, gara-gara tidak berpuas hati mengenai kadar sewa rumah, seorang wanita warga emas maut ditikam dan dikelar leher dalam satu kejadian di Taman Ehsan, Kepong, di sini pada 23 November lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superitenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mangsa wanita warga tempatan berusia 70 tahun ditemukan orang awam dalam sebuah kereta jenis Honda City kira-kira pukul 10.16 malam.
Ujarnya, mangsa yang berada dalam keadaan berpakaian lengkap berada di bahagian belakang tempat duduk penumpang ditutup dengan kain selimut.
Menurut Noor Ariffin, hasil pemeriksaan tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kelar di leher dan tikam di perut.
Susulan itu, pada 27 November, seramai lapan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 21 dan 35 tahun ditahan pihak polis.
“Motif kejadian adalah tidak berpuas hati mengenai kadar sewa rumah,” kata Noor Ariffin. -UTUSAN