PETALING JAYA: Proses pemindahan teknologi amat penting bagi memberi manfaat kepada pekebun dan masyarakat sekiranya diaplikasikan secara efektif di lapangan.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu sejajar memastikan objektif jaminan sekuriti makanan negara tercapai di samping memenuhi keperluan rakyat.
“Bagi memastikan objektif jaminan sekuriti makanan negara tercapai, proses pemindahan teknologi adalah penting bagi memberi manfaat kepada pekebun dan masyarakat sekiranya ia diaplikasikan secara efektif di lapangan.
“Penggunaan teknologi baharu di dalam meningkatkan pengeluaran berhasil tinggi mampu dilaksanakan melalui gabungan pendekatan agronomi, fisiologi dan penggunaan teknologi mekanisasi yang lebih efisien dan seterusnya dapat menjimatkan kos tenaga buruh dan input,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Hibrid Baharu Nanas Manis MNS2020 di Pontian, Johor hari ini.
Dalam majlis itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melancarkan hibrid baharu nanas manis MNS2020 atau dijenamakan sebagai Nanas MS16.
Nanas MS16 yang berhasil tinggi dan berkualiti ini berasal daripada kacukan induk Josapine dan nanas tanpa duri dari Australia.
Hibrid nanas baharu ini berpotensi untuk pasaran segar berhasil tinggi dan toleran kepada penyakit reput teras bakteria.
Pengenalan hibrid nanas ini sebagai satu lagi pilihan alternatif varieti baharu nanas manis dan berkualiti kepada pengusaha dan penggemar nanas di samping meningkatkan kepelbagaian sumber genetik tanaman buahan itu di Malaysia.
Pada masa sama, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, Johor merupakan negeri pengeluar terbesar nanas di Malaysia dengan nilai pengeluaran sebanyak 212,000 tan metrik dan menyumbang 66 peratus keseluruhan pengeluaran di Malaysia.
Katanya, Pontian merupakan antara kawasan penanaman dan penyumbang utama pengeluaran nanas di Johor dengan melebihi 1,200 hektar kawasan penanaman dan pengeluaran 37,000 matrik tan.
Justeru itu, beliau berharap agar aktiviti penyelidikan tanaman nanas di Malaysia dapat dijalankan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran nanas dan memenuhi permintaan pasaran semasa yang tinggi.
MARDI sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan utama di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mewujudkan program pembaikbakaan dan pembangunan varieti baharu nanas sejak tahun 1980.
Janaplasma nanas terletak di MARDI Pontian, Johor adalah koleksi pembaikbaka daripada dalam dan luar negara yang digunakan sebagai sumber genetik untuk menghasilkan hibrid baharu nanas MARDI.
Bersempena dengan majlis itu, MARDI menyerahkan sulur nanas hibrid baharu MS16 kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia sebagai agen pengembangan dan 11 pengusaha tanaman nanas yang merupakan peserta projek perintis MARDI. – UTUSAN