AHLI BTS, Jungkook bakal berkolaborasi dengan penyanyi R&B, Usher menerusi versi remix single terbaru penyanyi itu, Standing Next to You.
Perkembangan itu, yang diumumkan BIGHIT MUSIC baru-baru ini menerima pelbagai reaksi peminat yang juga dikenali sebagai ARMY.
Peminat pada awal teruja dengan pengumuman itu memandangkan Usher merupakan idola kepada Jungkook.
Penyanyi kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu juga sebelum ini memuat naik salah sebuah lagu BTS, Butter, di TikToknya.
Bagaimanapun, semakin ramai netizen yang menolak kolaborasi tersebut disebabkan tindakan Usher yang menyokong Israel.
Ditambah lagi apabila bertambah ramai yang menyuarakan penentangan terhadap zionis selepas semakin banyak media tampil melaporkan keadaan sebenar di Gaza.
Lebih 10,000 penduduk yang kebanyakannya kanak-kanak, terbunuh selepas Israel membedil wilayah tersebut.
Pada 2014, Usher, menerusi media sosialnya
menyuarakan sokongannya kepada Israel, namun selepas itu bertindak memadam Perkongsian tersebut.
Baru-baru ini, penyanyi itu sekali lagi menunjukkan sokongan terhadap rejim zionis di Instagram dengan memuat naik imej genggaman tangan yang diwarnakan bendera Israel.
Namun, perkongsian itu juga dipadam, sekaligus menimbulkan persoalan sama ada penyanyi berkenaan telah mengubah pendiriannya.
Usher juga menjadi antara sebilangan kecil selebriti dikesan tidak menurunkan tanda tangan terhadap surat #NoHostageLeftBehind untuk President AS, Joe Biden kerana menyokong zionis.
Terdahulu, peminat bertindak memboikot kolaborasi Jungkook dengan bintang terkenal, Justin Timberlake kerana isu yang sama meskipun Jungkook mengidolakan bekas anggota kumpulan Nsync itu.
Peminat menolak pendirian politik Timberlake selain layanan buruknya terhadap bekas kekasih yang juga penyanyi, Britney Spears.
Timberlake antara selebriti yang menolak genjatan senjata dan merupakan penyokong zionis sejak tahun 2014.