Pemandu Perodua Bezza dipenjara sebulan, denda RM10,000

Pemandu Perodua Bezza dipenjara sebulan, denda RM10,000

B. Anbarasan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan memandu secara melulu. -UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Pemandu kereta Perodua Bezza yang tular dikejar 28 unit peronda polis (MPV) dari Petaling Jaya ke Cyberjaya, dipenjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu secara melulu dan menghalang tugas polis.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa menjatuhkan hukuman itu terhadap B. Anbarasan, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah di atas dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Anbarasan didakwa memandu kenderaan jenis Perodua Bezza dengan cara melulu yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna yang lain.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Utara di sini pukul 1.30 pagi pada 5 Disember lalu mengikut Seksyen Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Pertuduhan kedua didakwa menghalang penjawat awam iaitu anggota polis Korperal Mohd. Faizal Sulong daripada menjalankan tugas-tugas jawatannya pada waktu, tarikh dan tempat sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama memandu secara melulu, Anbarasan dihukum penjara sebulan dan didenda RM5,000 serta hilang kelayakan memandu selama lima tahun.

Sementara bagi pertuduhan kedua menghalang penjawat awam tertuduh didenda jumlah yang sama (RM5,000).

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini. Bagaimanapun sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda RM10,000 itu dia boleh dipenjara selama lapan bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu dalam prosiding berlainan di Mahkamah Sesyen, Anbarasan dan isterinya M. Rishalani, 21, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau.

Kedua-duanya membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan, Anbarasan dan Rishalani bersama-sama didapati dalam milikan mereka senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah pisau berwarna hitam tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini pada waktu dan tarikh sama.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan dibawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Faiz kemudian membenarkan Anbarasan dan Rishalani diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin serta melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Tarikh 16 Januari tahun depan ditetapkan sebutan kes.

Semasa prosiding pendakwaan diwakili Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Khailash Sharma.

Pada 5 Disember lalu, media melaporkan tular satu rakaman video memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dikejar kira-kira lebih daripada 28 unit MPV dari Petaling Jaya ke Cyberjaya.

Menerusi video berdurasi 51 saat itu, pemandu Bezza dilihat tetap meneruskan perjalanan meskipun dikejar oleh sepasukan polis sejauh 50 kilometer.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku selepas suspek yang enggan diperiksa polis bertindak melarikan diri.

Sejurus selepas ditahan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis mengesahkan pemandu Perodua Bezza tersebut mempunyai 11 rekod lampau.

Malah, pemeriksaan turut menemukan sebilah pisau, gunting, set sarung tangan, topi keledar, kad pengenalan milik individu lain dan kad debit.

Pemandu tersebut ditahan bersama seorang wanita yang juga warga tempatan berusia 21 tidak mempunyai rekod lampau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya