TANGKAK: Seorang pemandu berserta kelindannya maut manakala tiga lagi terselamat dalam satu nahas tiga buah lori di Kilometer (KM) 164.8, susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Tangkak, Lebuhraya Plus arah selatan, pada awal pagi tadi.
Menurut Ketua Balai BBP Tangkak, PPgB Rafiah Aziz, kemalangan dipercayai berlaku pada pukul 4.26 pagi tadi.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori 5 tan jenis Isuzu, sebuah lori jenis Hino dan juga sebuah lori 5 tan jenis Hino.
“Mangsa di dalam lori Isuzu didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi.
“Tiga lagi mangsa dalam lori jenis Hino dan juga sebuah lori 5 tan jenis Hino terselamat.
“Pihak bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas menyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Rafiah, mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan ke semua lori yang terlibat dalam kemalangan menuju ke arah selatan.
Punca kejadian masih dalam siasatan.
Empat jentera serta sembilan anggota dari BBP Tangkak dan sembilan anggota BBP Bukit Gambir telah dikejarkan ke lokasi kejadian diketuai oleh Penolong Kanan Bomba (PBK II), Zamri Ayob.
Operasi ditamatkan sekitar pukul 6.05 pagi, tadi. – UTUSAN