Pemain pelancongan digalakkan wujud lebih banyak lokasi menarik - Utusan Malaysia

Pemain pelancongan digalakkan wujud lebih banyak lokasi menarik

WAN Badariah Wan Saad bergambar bersama ketika melawat Arauberry di Pekan Lama Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/IZIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pemain industri pelancongan di negeri ini digalakkan untuk mewujudkan lebih banyak lokasi percutian menarik khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, langkah itu bertujuan bagi menarik lebih ramai pelancong luar ke Perlis bagi menikmati keunikan yang terdapat di sini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang melihat beberapa lokasi yang berpotensi dan bersesuaian untuk dibangunkan sebagai destinasi percutian menarik buat pelancong.

“Sebagai contoh di Arau dikenali sebagai Bandar Diraja jadi kita akan fokus pada sejarah dan institusi diraja di negeri ini untuk diperkenalkan kepada pelancong luar,” katanya selepas melawat Arauberry Flea Market di Pekan Lama Arau, di sini, semalam.

Bagi penganjuran TMPs pada tahun hadapan, kerajaan negeri mensasarkan kehadiran seramai 3.5 juta pelancong ke Perlis yang menawarkan pelbagai destinasi percutian menarik khususnya berkonsepkan keindahan alam semula jadi.

Dalam pada itu, Wan Badariah berkata, kerajaan negeri turut turut menyediakan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi menggalakkan pengusaha dan pemain industri pelancongan melakukan promosi lokasi mereka.

“Peruntukan ini memang sudah ada dan mereka boleh memohon melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana promosi berkenaan.

“Permohonan bagi mendapatkan peruntukan ini terbuka kepada pengusaha berdaftar untuk melakukan promosi seperti menganjurkan program dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai lawatannya ke Arauberry Flea Market, Wan Badariah berkata, pengusaha lokasi berkenaan telah menampilkan satu kelainan dalam menghidupkan semula suasana di Pekan Lama Arau.

Beliau berkata, tema berlainan yang ditampilkan di sana juga turut menjadi penarik buat pengunjung sama ada dari dalam mahu pun luar negeri ini.

“Malah terdapat pelbagai vendor yang dikumpulkan di sini sekali gus dan memberi lebih pilihan buat pengunjung,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya