PERNAH popular dengan lagu Gelek Jambu, percaturan kumpulan baharu, The Gadys dilihat kurang menjadi. Entah mengapa, lagu mereka lebih dikenali berbanding nama sendiri.
Namun tidak mudah mengalah, peluang kedua yang diraih menerusi lagu baharu, Gagal Cinta akan digunakan sebaik mungkin dan merancang strategi seni dengan lebih baik serta menyeluruh.
Kehadiran ahli baharu, Thamiera Cahn juga bakal memberi impak kepada perancangan seni kumpulan yang dianggotai oleh Aznie Azmi dan Ayunie Rizal selepas pengunduran dua ahli lama.
Membuka gelanggang bicara tentang Gagal Cinta, Ayunie berkata, lagu tersebut biarpun kedengaran ringan namun liriknya cukup mendalam ditambah pula dengan emosi setiap anggota ketika sesi rakaman.
“Selalunya kalau orang dengar lagu catchy dan rancak, badan akan ikut sama menari. Kami juga begitu. Tetapi jika diamati lirik Gagal Cinta ini, sebenarnya cukup sedih kerana dikhianti cinta.
“Lagu ini berkisarkan tentang tiga gadis yang ditipu lelaki sama. Macam sesuai pula dengan isu-isu panas sekarang kan? Tetapi lagu ini mempunyai maksud yang mendalam.
“Ketika sesi rakaman juga, kami meletakkan seluruh emosi. Jadi, kena dengar betul-betul lirik dan fahami jalan cerita yang cuba kami sampaikan menerusi Gagal Cinta,” ujarnya.
BUKAN TIKET EKSPRES
Sebagai anggota baharu, pastinya Thamiera berdepan cabaran terutama ketika sesi rakaman dan pembikinan muzik video.
Namun hakikatnya, dia bukan calang-calang gadis. Anak saudara kepada penyanyi sohor, Stacy ini sudah lama mengimpikan keberadaannya dalam industri seni suara dan sering meminta pendapat ibu saudaranya itu.
“Saya memang rapat dengan Stacy, Sejak di usia lima tahun lagi, saya selalu ikut dan menyanyi bersama dia. Saya memang banyak belajar daripada dia, terutama soal nyanyian dan tarian.
“Saya pun ada meminta pandangan dia tentang penyertaan dalam The Gadys. Saya berharap ini adalah permulaan terbaik untuk saya terus bersinar dengan bakat seni,” katanya.
Berdepan dengan dakwaan menggunakan pengaruh ibu saudara untuk menyertai The Gadys, Thamiera menjawab; “Tak pernah terlintas pun hendak guna atau tumpang populariti dia. Saya lebih senang jika dikenali dengan bakat sendiri. Itu akan membuatkan kita lebih tahan lama dan kekal relevan.
“Lagipun saya memang minat menyanyi dari kecil. Selalu menyertai pertandingan nyanyian. Jadi, saya tidak kisah jika harus bermula dari bawah. Itu adalah satu proses bukan?” kongsinya.
KAMI BAIK-BAIK SAHAJA
Ditanya tentang pengunduran dua anggota lama, Ayunie menolak dakwaan kononnya mereka berdepan dengan konflik dalaman sehingga kedua-dua gadis itu mengundurkan diri.
“Kami menghormati keputusan kedua-dua penyanyi itu. Tidak ada konflik atau cerita dalam kain yang perlu dikongsi. Itu adalah keputusan mereka dan kami terima dengan hati terbuka.
“Kami mahu terus fokus untuk memastikan The Gadya menempa nama dan terus mendapat sokongan peminat muzik tanah air,” jelasnya.