Pelantikan Pasukan Petugas Khas sebagai ‘peluru politik' PRU15

Pelantikan Pasukan Petugas Khas sebagai ‘peluru politik’ PRU15 – Tommy

TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Tommy Thomas mendakwa pelantikan lapan individu dalam Pasukan Petugas Khas (PPK) pada 2021 bukan untuk menyiasat tingkah laku beliau selaku Peguam Negara, sebaliknya berfungsi sebagai ‘peluru politik’ ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tommy berkata, serangan politik itu juga digunakan sebagai tindakan balas terhadap keputusan beliau membawa pertuduhan jenayah ke atas bekas-bekas menteri yang menganggotai UMNO.

Bekas Peguam Negara turut mendakwa, isu ‘peluru politik’ itu diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada satu perhimpunan Barisan Nasional (BN) di Bagan Datuk, Perak pada 17 Oktober 2022, seminggu selepas Parlimen dibubarkan.

“Pelantikan defendan pertama hingga kelapan sebagai PPK bukan untuk tujuan siasatan tulen atau usaha mencari fakta ke atas kelakuan saya sebagai Peguam Negara tetapi sebagai ‘peluru politik’ bagi tujuan persendirian dan politik,” ujarnya.

Thomas yang berkhidmat sebagai Peguam Negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020 berkata, Ismail Sabri yang bertindak bagi pihak kerajaan ketika itu, mengarahkan agensi penguatkuasaan yang berkaitan menjalankan siasatan lanjut kemungkinan terdapat salah laku beliau.

Tommy menyatakan demikian dalam pernyataan tuntutan berkaitan saman yang difailkan terhadap sembilan defendan termasuk Kerajaan Malaysia antaranya bagi menuntut perisytiharan pelantikan ahli-ahli PPK menyalahi undang-undang.

Beliau menamakan Datuk Seri Fong Joo Chung, Datuk Seri Hashim Paijan, Datuk Dr. Junaidah Kamarruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K. Balaguru, Farah Adura Hamidi, Mohd. Najib Surip dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga kesembilan.

Writ saman itu difailkan pada 4 Disember lalu melalui Tetuan Tommy Thomas di Pejabat Pendaftaran Sivil Mahkamah Tinggi  di sini.

Saman itu difailkan berikutan keputusan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 2 Oktober lalu mengarahkan Tommy menukar saman pemula  kepada saman sivil untuk didengar dan diselesaikan melalui perbicaraan penuh.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 27 Oktober lalu, Tommy menegaskan bahawa penubuhan PPK, penyahklasifikasi laporan PPK dan kemudian disiarkan menjelang PRU15 hanya mempunyai satu tujuan iaitu untuk menyerang kredibilitinya.

Sementara itu, hasil semakan laman web mahkamah menunjukkan pengurusan kes ditetapkan pada 30 Januari depan.

Dalam penyataan tuntutannya, Tommy turut memohon agar mahkamah mengisytiharkan laporan PPK sebagai tidak sah dan melanggar hak dan privasi  beliau yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Peguam Negara juga menuntut pampasan atas pelanggaran hak perlembagaan dan statutori beliau selain ganti rugi tambahan.

Dakwa peguam tersebut, laporan itu antaranya menyatakan kesalahan beliau semasa memegang jawatan sebagai Peguam Negara, mendedahkan rahsia-rahsia kerajaan serta campur tangan dalam badan kehakiman serta pelantikan hakim-hakim.

Pernyataan tuntutan itu antara lain menggariskan alasan bahawa defendan pertama hingga kelapan tidak dilantik berdasarkan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 meskipun pada masa dahulu kerajaan pernah membentuk beberapa suruhanjaya termasuk menyiasat campur tangan pelantikan hakim.

Pada 2021, Kerajaan membentuk PPK dianggotai lapan individu bagi mengenal pasti dakwaan yang didedahkan dalam buku `My Story:  Justice in the Wilderness’ yang diterbitkannya.

Menurut Tommy, pelantikan defendan-defendan adalah ultra vires, tidak seperti pelantikan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan menjadikan mereka tiada kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan fungsinya.

Melalui surat bertarikh 5 Januari 2022, plantif turut menulis kepada Pengerusi PPK bahawa penubuhan pasukan itu bukan sahaja tanpa asas malah menetapkan duluan (precedent) yang berbahaya dan merisikokan kebebasan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Tommy turut menyatakan, Laporan Petugas Khas – Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang dihasilkan pada 30 September 2022, tidak berasaskan undang-undang.

Laporan itu yang kemudiannya diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi diedarkan dalam laman web pada 6 Oktober 2022 manakala kerajaan mengumumkan bahawa ia dinyahklasifikasikan pada 13 Oktober 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN