JERANTUT: Kira-kira 30 orang pelancong Eropah dan Asia terpaksa menamatkan percutian lebih awal di Taman Negara Kuala Tahan berikutan situasi banjir melanda di daerah ini menyebabkan beberapa kawasan di Jalan Jerantut – Kuala Tahan ditenggelami air, semalam.
Rata-rata pelancong dari negara Belanda, Korea, Jerman, Perancis dan beberapa negara Eropah dinasihatkan oleh pengusaha resort swasta dan pusat inap desa milik penduduk Kuala Tahan supaya segera keluar berikutan kenaikan paras Sungai Tembeling sudah menenggelami Jalan Jerantut – Kuala Tahan, iaitu di Simpang Paya Garok dekat sini.
Pelancong berkenaan dibawa keluar dari Kuala Tahan secara berperingkat oleh pengusaha chalet dan pusat inap desa dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan kemudiannya diambil oleh ejen pelancongan masing-masing untuk dibawa ke Kuala Lumpur.
Pelancong dari Seoul, Korea Selatan, Seoyeon Park, 46, berkata, dia dinasihatkan oleh pengusaha chalet tempat dia menginap supaya menamatkan cuti lebih awal dan dibawa keluar ke bandar Jerantut pada pukul 8 pagi hari ini.
“Dua hari berada di Taman Negara mengujakan percutian saya sekeluarga, cuma masih tinggal sehari lagi di sini, tetapi setelah dinasihatkan pengusaha berkenaan supaya keluar dari penginapan berikutan air Sungai Tembeling semakin meningkat lalu kami akur terpaksa pulang awal.
“Saya dan keluarga amat teruja di Taman Negara walaupun hujan, tetapi kami sempat berekreasi dan beriadah di lokasi yang dibenarkan oleh pihak berkuasa sambil berharap akan datang semula pada musim kemarau tahun depan,” katanya ketika ditemui dekat sini semalam.
Pelancong dari Rotterdam, Belanda, Helene Oothof, 42, pula berkata, dia dan keluarganya seronok bercuti di Taman Negara walaupun kekangan musim tengkujuh dan sempat menikmati keindahan hutan tropika Taman Negara yang berusia lebih 130 juta tahun serta mengenali budaya orang Melayu di Kuala Tahan.
“Setelah diberitahu pengusaha chalet mengenai banjir dan laluan keluar dinaiki air, saya dan suami serta anak perempuan menamatkan percutian di sini dan dibawa keluar untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dan Cameron Highlands,” katanya.
Cerita Helene, dia tahu keindahan Taman Negara menerusi rakannya yang pernah ke sini dua tahun lalu serta mendapatkan maklumat daripada laman sesawang Tourism Malaysia dan terus merancang ke Malaysia penghujung tahun ini.
Bagaimanapun dia tidak bernasib baik kerana situasi banjir kali ini.
“Saya dan suami akan merancang semula percutian ke Taman Negara pada masa akan datang, tetapi memilih masa yang sesuai pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, sumber daripada penggiat pelancongan dan pusat inap di Kuala Tahan memberitahu, hampir 100 orang pelancong Eropah masih berada Taman Negara sejak awal minggu ini melakukan aktiviti percutian di lokasi yang dibenarkan.
Ujarnya, usaha mengeluarkan pelancong berkenaan dari taman itu sedang giat dilakukan oleh pengusaha pusat inap berasaskan arahan pihak berkuasa keselamatan apabila banjir melanda daerah ini mengakibatkan beberapa jalan terputus hubungan.-UTUSAN