PETALING JAYA: Program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang diperkenalkan bagi menawarkan bekalan elektrik hijau daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada pengguna elektrik diteruskan pelaksanaannya pada 2024.
Program itu mempunyai komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mengurangkan jejak karbon.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Sumber Daya Awam memaklumkan, pihaknya sedang meneliti serta menambah baik pelaksanaan serta kaedah pengoperasian program itu memandangkan langganan sedia ada pengguna akan ditamatkan secara automatik menjelang 31 Disember ini.
Kata kementerian itu, antaranya meneliti semula kadar premium yang ditetapkan agar ia lebih kompetitif dan menarik dan meneliti semula kaedah penawaran GET bagi membenarkan tempoh langganan yang lebih panjang.
Ini termasuk menetapkan kaedah bagi memberikan keutamaan langganan kepada pelanggan sedia ada yang setia untuk memperbaharui langganan masing-masing.
“Perincian mengenai tawaran, pelaksanaan serta kaedah langganan program ini akan dimaklumkan oleh kementerian ini pada masa terdekat, setelah kajian dan penelitian semula program ini diselesaikan,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, menurut kementerian berkenaan, GET yang mula dilaksanakan pada tahun 2022 merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong aspirasi negara ke arah negara neutral karbon pada tahun 2050.
Katanya, pengguna yang melanggan GET akan dibekalkan dengan bekalan elektrik daripada sumber TBB yang dijana daripada loji jana kuasa solar dan hidro yang sedang beroperasi.
“Mereka juga akan mendapat sijil yang mengesahkan bahawa bekalan elektrik tersebut adalah bekalan elektrik daripada sumber TBB melalui sijil Malaysia Renewable Energy Certificates atau mREC® yang berdaftar dengan badan pensijilan antarabangsa.
“Pada Februari 2023, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad membuka langganan GET dengan jumlah kuota 6,600GWj dengan kadar premium 21.8sen/kWj iaitu berdasarkan kepada penanda aras penetapan harga runcit bekalan elektrik hijau di negara jiran yang menawarkan produk yang serupa,” katanya. – UTUSAN