PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjelaskan arahan penempatan dan pertukaran pegawai adalah selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh agensi itu di mana ia membabitkan pegawai yang sudah berkhidmat lebih tujuh tahun di lokaliti yang sama.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, JKDM ingin memaklumkan bahawa arahan penempatan dan pertukaran pegawai adalah selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh JKDM.
Menurutnya, arahan itu mengikut Perintah Tetap Perjawatan Bil.78 – Dasar Penempatan dan Pertukaran Pegawai JKDM bertarikh 10 Ogos 2023 dan kaedah pelantikan pegawai dalam perkhidmatan awam dan urusan-urusan lain berkaitan pelantikan mengikut Ceraian UP.2.2.1 (Panduan Pertukaran Pegawai) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuatkuasa pada 1 Januari 2022.
Selain itu, kata beliau, ia juga tertakluk di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (Semakan Semula Separuh Penggal) di bawah Objektif Strategik 2.1: Merekayasa Perkhidmatan Awam ke arah tadbir urus baik melibatkan inisiatif bagi mengukuhkan mekanisme dalam menguatkuasakan pusingan kerja secara mandatori kepada penjawat awam yang memegang jawatan sensitif.
“Objektif penempatan dan pertukaran yang dilaksanakan dapat membantu memperkayakan dan memperluaskan tugas (job enrichment and job enlargement) kepada pegawai dan boleh menyumbang ke arah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sidang akhbar Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) yang minta supaya mengkaji semula arahan perpindahan yang dikeluarkan secara drastik membabitkan sejumlah besar pegawai jabatan itu.
Anis Rizana berkata, pertukaran itu juga dapat menambah serta mempelbagaikan pengalaman, pendedahan dan proses pembelajaran dalam kalangan pegawai terlibat yang mana proses ini amat berguna untuk kemajuan kerjaya mereka.
“Peningkatan produktiviti seseorang pegawai dan seterusnya organisasi tempat mereka berkhidmat; membolehkan pegawai melihat organisasi di mana mereka ditempatkan dari perspektif yang berbeza dan dengan itu mereka diharap dapat mencuba pendekatan baru yang boleh mempertingkatkan lagi keberkesanan organisasi.
“Selain itu, ia juga dapat mencegah sebarang kemungkinan berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” jelasnya.
Beliau berkata, menukar pegawai yang berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lima tahun di sesuatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif.
“Seseorang pegawai boleh ditukarkan sama ada atas arahan Ketua Pengarah Kastam ataupun atas permohonan pegawai sendiri yang dipersetujui oleh Ketua Pengarah Kastam berdasarkan kepentingan perkhidmatan tanpa terikat dengan tempoh perkhidmatan yang dinyatakan di atas,” ujarnya.
Kata beliau, JKDM juga memberi ruang bagi penangguhan pertukaran penempatan sementara mengikut permohonan dan sehingga kini beberapa pertukaran telah ditangguhkan atas sebab-sebab keluarga, kesihatan dan persekolahan anak anak.
“JKDM sentiasa memberi penekanan serius kepada kebajikan warga jabatan, selaras dengan hasrat untuk mewujudkan sebuah organisasi yang efisien di bawah elemen cekap, tangkas dan integriti bagi menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kecekapan pungutan hasil kerajaan, fasilitasi perdagangan dan bekerjasama erat dengan semua pemegang taruh,” katanya. – UTUSAN