IPOH: Seorang pegawai kanan polis ditahan bagi membantu siasatan kes langgar pelajar lelaki tingkatan lima di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, permohonan reman terhadap lelaki berusia 44 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu akan dijalankan esok.
“Kemalangan membabitkan sebuah motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu suspek.
“Dalam kes ini, mangsa yang juga pelajar sekolah berusia 17 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suspek pula tidak cedera,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, selain siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pihaknya turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tegas beliau, pihak polis sama sekali tidak akan melindungi pegawainya sendiri dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya mempunyai bukti kukuh.
“Siasatan sedang dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang mengganggu siasatan atau menimbulkan kegusaran awam,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163 bagi membantu siasatan.
Kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari itu berlaku membabitkan motosikal jenis Yamaha ditunggang Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 44 tahun.
Difahamkan, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta itu dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.
Suspek dikatakan telah mengejar mangsa sejauh lebih kurang satu kilometer dan melanggarnya dari belakang.
Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan berkenaan. – UTUSAN