Pegawai kanan polis didakwa bunuh Muhammad Zaharif Affendi

Pegawai kanan polis didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi

MOHD. Nazri Abdul Razak tiba di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini bagi perbicaraan kes melanggar pelajar lelaki tingkatan lima hingga maut di Jalan Taman Jati dekat Meru Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pegawai kanan polis yang ditahan kerana disyaki melanggar pelajar lelaki tingkatan lima hingga maut di Jalan Taman Jati dekat Meru Jumaat lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Tertuduh, Mohd. Nazri Abdul Razak, 44, didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 12.05 hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Lelaki berpangkat Deputi Superintenden dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi bersama Khairul Azreem Mamat, Wan Azimah Yaacob, Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha Jora Singh dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong.

Terdahulu, Azlina memohon tarikh sebutan sementara menunggu laporan-laporan lain termasuk laporan kimia dan mahkamah kemudian menetapkan 7 Februari 2024 bagi sebutan semula kes.

Dalam kejadian Jumaat lalu sekitar pukul 12.30 tengah hari, seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh kereta jenis Perodua Ativa dipandu seorang pegawai kanan polis.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.

Suspek dikatakan telah mengejar motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa sejauh lebih kurang satu kilometer dan melanggarnya dari belakang.

Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN