PAUiTM diberi mandat terajui pemikiran baharu orang Melayu 

PAUiTM diberi mandat terajui pemikiran baharu orang Melayu 

ANWAR Ibrahim menerima kunjungan daripada PAUiTM di pejabatnya di Putrajaya. - GAMBAR FB PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi dukungan penuh terhadap agenda Gerakan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Turun Masyarakat (GEMA) yang akan dilaksana oleh Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM). 

Perdana Menteri berkata, beliau juga memberi mandat kepada PAUiTM untuk menerajui ikhtiar pemikiran baharu orang Melayu. 

Dukungan itu hadir selepas beliau menerima kunjungan daripada PAUiTM di pejabatnya.

“Saya hargai usaha dan peranan yang dimainkan oleh Alumni UiTM khususnya dalam agenda pembangunan orang Melayu dan bumiputera.

“Saya berbangga melihat hasil usaha UiTM sejak penubuhannya yang melahirkan lebih 700,000 alumni di seluruh negara sehingga kini. Ini adalah hasil usaha kejuruteraan sosial yang mengubah landskap pembangunan negara.

“Saya memberi dukungan penuh terhadap agenda GEMA yang akan dilaksana oleh PAUiTM khususnya terkait pendidikan dan pembangunan ekonomi anak bangsa,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Dalam hantaran berasingan, Anwar berkata, beliau menerima kunjungan Setiausaha Agung Akademi Fiqh Islami Antarabangsa (IIFA), prof. Datuk Dr. Koutoub Mustapha Sano di Putrajaya petang semalam.

Beliau turut berkongsi aspek bantuan pendidikan kepada Palestin yang disambut baik oleh Koutoub.

“Saya zahirkan penghargaan atas inisiatif dilaksanakan Dr. Koutoub yang berusaha mengangkat martabat wanita melalui pembudayaan ilmu dan sistem pengajian yang sistematik di beberapa buah negara Islam.

“Jalinan usaha yang konsisten dan dinamik antara IIFA dan Malaysia perlu diteruskan, khususnya menerusi Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dengan penganjuran program bercorak seminar kajian dan pendidikan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

“Usaha ini selaras dengan matlamat Malaysia Madani, yang antara lain untuk menarik sinergi kepelbagaian latar bagi mengupas hal ehwal agama dalam kefahaman yang sebenar, seimbang dan memahami sosiobudaya masyarakat berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah,” katanya. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya