Pasukan penyelamat bantu bawa anak mangsa banjir demam panas ke klinik - Utusan Malaysia

Pasukan penyelamat bantu bawa anak mangsa banjir demam panas ke klinik

ANGGOTA bomba membantu membawa salah seorang anak mangsa banjir ke klinik selepas terperangkap dalam banjir di Kampung Paya Kemudi, Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang wanita terpaksa meminta bantuan pasukan penyelamat untuk membawa dua anaknya yang demam panas ke klinik selepas kediamannya dikepung banjir di Kampung Paya Kemudi, dekat sini, hari ini.

Sharifah Abu Bakar, 32, berkata dia bersma dua anaknya, Nor Syakila Imani Mat Naim, 6, dan Nor Saqeena Izz Mat Naim, 2, tidak berpindah berikutan rumahnya yang berada di atas bukit dan tidak terlibat tidak banjir, namun laluan keluar dinaiki air hingga empat meter. 

“Kedua-dua anak saya demam sejak semalam. Suami tiada di rumah bekerja, saya tidak berani mendayung sendiri perahu untuk bawa keluar anak. 

“Air di laluan keluar dari rumah saya tinggi hampir cecah tiang elektrik. Memang agak bimbang kalau nak bawa anak naik perahu.

“Alhamdulillah, pihak bomba datang ambil kami sebelum membawa saya dan anak ke klinik untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Sharifah berkata, dia juga sudah tidak keluar dari kawasan rumahnya selama tiga hari selepas kawasan itu dinaiki air. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata, beliau bersama lima anggota mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyelamatkan mangsa, bermula pukul 10.30 pagi tadi. 

“Kita menggunakan bot untuk membawa mangsa keluar. Laluan masuk ke rumah mangsa sejauh 500 meter ditenggelami air yang menjangkau hingga empat meter. 

“Mangsa kemudiannya dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya