KUALA LUMPUR: Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang sebelum ini menyokong sepenuhnya kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dijangka dibubarkan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, tahun depan.
Timbalan Presiden I PSB, Dr. Johnical Rayong Ngipa berkata, perkara itu dimaklumkan Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh semalam dan akan merujuk prosedur pembubaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Selepas pembubaran itu, pimpinan PSB dan kira-kira 80,000 ahlinya dilaporkan akan menyertai parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Parti Demokratik Progresif (PDP), pimpinan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.
“Kami rancang untuk bubar PSB, iaitu kami berada bawah payung besar PDP dan sudah tentunya jadi sebahagian daripada GPS.
“Proses seterusnya diikuti mesyuarat agung luar biasa (EGM) oleh PSB mengenai pembubaran dan PDP untuk menerima kemasukan bekas ahli-ahli parti tersebut,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Pra-Krismas dan Tahun Baharu 2024 PDP malam tadi.
Mengulas lanjut, Johnical Rayong berkata, langkah menyertai PDP adalah tanpa syarat dengan hasrat bersama-sama memainkan peranan membangun dan memajukan Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Kami lupakan latar belakang politik dan ideologi. Kami bergabung dalam satu parti dan menyokong kepimpinan Premier (Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg) dan seterusnya menyokong kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di peringkat persekutuan,” katanya.
PSB pada masa ini tidak mempunyai kerusi ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, mereka mempunyai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di DUN Sarawak yang mempunyai keseluruhan 82 kerusi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021, PSB bertanding sebagai parti pembangkang dan hanya mampu menang empat daripada 82 kerusi yang dipertanding.
Kerusi-kerusi berkenaan ialah Soon Koh sendiri (DUN Bawang Assan); Johnical Rayong (DUN Engkili), Baru Bian (DUN Ba Kelalan) dan See Chee How (DUN Batu Lintang).
Bagaimanapun, Chee How mengambil keputusan keluar PSB pada Ogos tahun lalu menjadi ADUN bebas di DUN Sarawak.
Pada 13 Julai lalu, PDP diwakili King Sing dan Soon Koh mewakili PSB ketika itu menandatangani satu memorandum persefahaman bagi menjalin kerjasama melihat kemakmuran dan kestabilan politik dalam negara.
Selain PDP, GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS). UTUSAN