Parti-parti politik, aktivis dan NGO ‘kepung’ kedutaan Amerika Syarikat malam esok - Utusan Malaysia

Parti-parti politik, aktivis dan NGO ‘kepung’ kedutaan Amerika Syarikat malam esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan gerakan mahasiswa akan mengadakan perhimpunan ‘Kepung Demi Palestin’ selama enam hari di kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini mulai malam esok, sehingga 31 Disember ini.

Sekretariat Solidariti Palestin (SPP) dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu adalah maklum balas terhadap tindakan Amerika Syarikat yang berterusan menggunakan kuasa veto untuk mensabotaj usaha perdamaian di Palestin.

Katanya, perhimpunan itu diadakan secara aman.

“Kami membuka khemah dan
tinggal di khemah sepanjang piket, selain mengadakan acara-acara solidariti setiap malam dan memasang bendera serta simbol perjuangan rakyat Palestin.

“Kami juga merancang satu perhimpunan mega diadakan sebagai grand finale pada 31 Disember sebagai acara penutup. Justeru, kami ingin menjemput semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit, serta mereka yang bersolidariti bersama rakyat Palestin atas semangat kemanusiaan untuk bersama dalam aksi ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menamakan 25 NGO, 14 gerakan mahasiswa dan sembilan parti politik kebanyakannya dari sayap Pemuda yang menyokong piket tersebut.

Parti-parti politik terlibat ialah DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah), Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pas, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Pemuda Sosialis (PS).

Sebelum ini, Amerika Syarikat dilaporkan menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang resolusi mendesak gencatan senjata di Gaza dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) beberapa kali menangguh resolusi berkaitan perang di negara berkenaan.

Amerika Syarikat juga sebelum ini memaklumkan gencatan senjata hanya akan memberi ruang kepada pejuang Hamas melancarkan lebih banyak serangan ke wilayah Israel.

Mengulas lanjut, sekretariat itu menuntut Israel supaya menamatkan pembunuhan sewenang-wenangnya terhadap rakyat Palestin, termasuk perempuan, anak-anak dan bayi.

Mereka juga menggesa gencatan senjata segera, kekal dan tanpa syarat, serta mengakhiri pembunuhan genosid dan semua pihak harus bertindak mengikut undang-undang antarabangsa.

“Kami juga menggesa untuk menghentikan pertempuran untuk menangani keperluan segera orang awam di Gaza, baik untuk bantuan mahu pun perlindungan dan pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk sebuah negara yang berdaulat,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, polis setakat ini tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak berhubung penganjuran piket ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ yang akan diadakan di sekitar Kedutaan Amerika Syarikat bermula esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya