HULU TERENGGANU: Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD)(PARA) sedia
berperanan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa banjir menerusi Ops Murni di Terengganu.
Pegawai Memerintah 18 RAMD, Leftenan Kolonel Mohd. Zaki Jusoh berkata, pasukan perubatan turut terlibat dalam Ops Murni itu
bertujuan menyantuni mangsa banjir.
Menurutnya, setakat ini, operasi tersebut melibatkan Hulu Terengganu, Marang dan Dungun.
Katanta, kesiapsiagaan itu meliputi kawasan tanggungjawab berdasarkan arahan dan juga panduan Tentera Darat untuk atur gerak Ops Murni tersebut
“Pada hari ini kita datang ke pusat pemindahan sementara (PPS) Pengkalan Ajal dengan kekuatan pasukan perubatan yang terdiri daripada seorang pegawai perubatan serta lima anggota lain- lain pangkat.
“Kita ingin lihat dan periksa tahap kesihatan mangsa-mangsa banjir yang ada di PPS ini, mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak sihat atau demam disebabkan banjir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS Pengkalan Ajal disini hari ini.
Tambah beliau, atur gerak pasukan 18 RAMD (PARA) yang berpangkalan di Kem Sri Pantai Seberang Takir itu secara tidak langsung juga mendekatkan pihak tentera dengan rakyat.
Setakat pukul 4 petang tadi, seramai 2,103 mangsa banjir daripada 523 keluarga dipindahkan di 44 PPS melibatkan enam.daerah. – UTUSAN