Ops Little Dhaka: Tiga polis tak mengaku curi RM85,000

Ops Little Dhaka: Tiga polis tak mengaku curi RM85,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terlibat dalam Ops Silang atau turut dikenali sebagai Ops Little Dhaka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencuri wang sebanyak RM85,000 milik sebuah syarikat minggu lalu.

Lans Koperal Mohamad Adib Mohd Zafri, 35, Koperal Muhamad Hafiz Irsyad Mohd Nawi,30, dan Lans Koperal Mohamad Amirul Aiman Mamat, 26, didakwa dengan niat bersama pada pukul 2.27 petang, 21 Disember lalu mencuri wang milik NGWE Gabar Sdn. Bhd., No 29,Tingkat 1, Jalan Lebuh Pudu, Off Jalan Silang di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham manakala Mohamad Adib dan Muhamad Hafiz Irsyad diwakili peguam bela, Adi Zulkarnain Zulkafli sementara Mohamad Amirul Aiman diwakili peguam bela, Khairunnisa Azzahrah Ghazalie.

Pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan atas kejadian perbuatan mencuri itu dilakukan oleh penjawat awam ketika menjalankan tugas.

“Perkara ini mendatangkan kegusaran kepada masyarakat awam berkaitan integriti dan tanggung jawab anggota keselamatan ketika menjalankan tugas.

“Sekiranya mahkamah masih ingin memberikan ikat jamin, pihak pendakwaan menegaskan supaya jaminan yang ditawarkan tidak kurang RM30,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin,” katanya.

Adi Zulkarnain bagaimanapun memohon agar jumlah jamin minimum diberikan kepada dua anak guamnya kerana masing-masing hanya berpendapatan RM2,100 sebulan dan perlu menanggung keluarga masing-masing.

Khairunnisa Azzahrah turut memohon jumlah ikat jamin yang rendah memandangkan anak guamnya (Mohamad Amirul Aiman) masih tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan pihak-pihak terlibat, Majistret Aina Azahra Arifin menetapkan ikat jamin sebanyak RM17,000 setiap tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan.

Semua anggota polis itu juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis terdekat setiap awal bulan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Februari ini.

Pada 22 Disember lalu, tular laporan polis berkaitan kes kehilangan wang RM85,000 didakwa dicuri anggota polis yang terlibat dalam operasi tersebut daripada sebuah premis di Lebuh Pudu dekat sini.

Laporan itu menyatakan pemilik premis iaitu warga tempatan berusia 36 tahun mendakwa wang tunai hasil jualan milik Syarikat berjumlah RM85,000.00 yang disimpan dalam almari hilang.

Pemilik premis kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis mendapati tiga lelaki berpakaian celoreng polis memasuki premisnya.

Laporan itu mendakwa, melalui penelitian CCTV turut memaparkan kelibat ketiga-tiga lelaki memasuki premis tersebut dan melakukan penggeledahan.

Soal siasat awal terhadap ketiga-tiga suspek mengaku mengambil duit tersebut di dalam almari.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya