SEPANG: Pelaksanaan Op Ihsan yang dilancarkan sekitar Oktober lalu berjaya memastikan segala bantuan kepada rakyat Palestin tiba tanpa timbul masalah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama julung kali itu ternyata berhasil malah mengelakkan pertindihan atau penyelewengan bantuan kemanusiaan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, inisiatif bersama Op Ihsan memastikan setiap gerak atur proses bantuan lebih tersusun.
“Malah ia menjadi efektif kerana ada seliaan Kementerian Luar dan berjaya membuktikan keberkesanan pengurusan sumber serta kepakaran pelbagai yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada majlis persiapan akhir bagi misi ketiga operasi tersebut, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Al–Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli bagi menyaksikan persiapan misi itu di Kompleks Kargo KLIA.
Meskipun tidak disebut secara spesifik, beliau difahamkan merujuk isu kejayaan dua misi penghantaran Op Ihsan yang sudah pun selamat sampai di Gaza pertengahan bulan lalu.
Seperti dua misi sebelum ini, penghantaran kali ketiga bakal dibawa pesawat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir yang dikendalikan kerajaan negara itu.
Menyentuh misi ketiga itu, Ahmad Zahid berkata, ia membawa 60 tan metrik muatan termasuk 36 tan metrik barang perubatan selain 13 tan metrik lagi persiapan musim sejuk termasuk kit wanita dan tilam.
Segala sumbangan ujarnya, diserah kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama yang menyelia penghantaran melalui sempadan darat ke Gaza. – UTUSAN