PETALING JAYA: Katarsis Seni bakal menganjurkan konsert puisi teatrikal Nuansa Pasar Seni Di Bawah Tiang Lampu 2 di Panggung Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur pada malam esok .
Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Mohamad Fairul Rashid atau Fairul Pujangga berkata, konsert merupakan penganjuran kali kedua setelah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak semasa anjuran pertama pada September lalu
Katanya, perbezaan yang dibawakan bagi konsert kedua ini adalah penceritaan yang akan meletakkan fokus ke arah peristiwa berkaitan kegiatan seni budaya oleh pertubuhan anak alam dan aktiviti seni budaya serta sastera antara tahun 1970 hingga 80-an di Pasar Seni.
“Perbezaan dengan konsert kedua ini adalah dari segi penceritaannya.
“Bagi konsert kedua, fokus lebih terarah kepada cuplikan peristiwa yang berlaku di Pasar Seni yang berkaitan dengan kegiatan seni budaya oleh pertubuhan anak alam dan aktivisi seni budaya dan sastera antara tahun 1970 hingga 80-an,” katanya.
Konsert anjuran Katarsis Seni itu mendapat tajaan oleh Yayasan Hasanah selain kerjasama penganjuran pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kolej Zaa`ba, dan Pena.
Dalam pada itu, Fairul berkata, konsert itu berformatkan puisi teatrikal dengan gabungan pelbagai elemen puisi merangkumi deklamasi sajak, deklamasi lakon, syair, gurindam, nyanyian dan pergerakan kreatif teater.
Katanya, adunan itu bakal disemikan lagi dengan gabungan aktivis lama dan baharu yang turut melibatkan barisan pelajar-pelajar daripada fakulti teater UPSI.
“Aktivis lama terdiri daripada beberapa tokoh yang pernah aktif bergiat di pasar seni antaranya Datuk Dinsman, Sani Sudin dan Pyan Habib.
“Barisan aktivis muda pula dibarisi oleh dua kelompok iaitu dari kelompok aktivis yang juga merupakan pendidik serta aktivis sepenuh masa,” katanya.
Konsert itu akan bermula pukul 8.30 malam dan terbuka kepada semua orang awam serta pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dengan harga tiket bermula RM15 hingga RM30. –UTUSAN