Nikotin: Keputusan semakan kehakiman 7 Februari 2024

Nikotin: Keputusan semakan kehakiman 7 Februari 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Februari 2024 untuk keputusan semakan kehakiman tiga badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencabar keputusan Menteri Kesihatan mengenyahkan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly menghujahkan, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa tidak melangkaui kuasa yang diperuntukkan terhadapnya apabila mengeluarkan mengeluarkan cecair nikotin daripada senarai Akta Racun 1952.

Tambahnya, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 pada 30 November lalu.

“Dengan kelulusan RUU tersebut, sebarang penjualan dan pembekalan bahan beracun kepada kanak-kanak akan menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 13 akta tersebut.

“Sesiapa yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM20,000 dan penjara tidak melebihi setahun. Oleh itu, polisi mengikut Seksyen 17 Akta Racun tidak dilanggar,”kata Ahmad Hanir.

Pada 28 Jun lalu, plaintif-plaintif, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM); Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA) dan Voice of Children (VOC) memfailkan semakan kehakiman itu atas alasan tindakan mengeluarkan nikotin daripada Senarai Racun itu sebagai salah, tidak rasional dan tidak mengikut prosedur.

Sementara itu, peguam, Edmund Bon yang mewakili kesemua NGO itu menghujahkan bahawa RUU itu masih belum dikuatkuasakan menjadikan penjualan cecair mengandungi nikotin itu masih berleluasa.

Ujarnya, sewaktu Menteri Kesihatan mengeluarkan nikotin daripada Senarai Racun pada 31 Mac lalu, tiada sebarang undang-undang yang menghalang penjualan tersebut kepada individu bawah umur.

Menurut afidavit yang difailkan kesemua NGO, mereka mendakwa sebagai Menteri Kesihatan, defendan pertama itu telah gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk menjaga kesihatan awam.

Ini kerana tindakan mengecualikan nikotin daripada Akta Racun telah membawa memudaratkan kesihatan awam secara khususnya terhadap kanak-kanak yang merupakan kalangan yang paling terdedah dalam masyarakat.

Selain itu, plaintif mendakwa Menteri telah bertindak tanpa mengambil kira pandangan Lembaga Racun dan tidak menyatakan alasan munasabah untuk bertindak bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh lembaga berkenaan.

Justeru, plaintif-plaintif memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan pengecualian tersebut.

Turut dimohon ialah relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN