SEREMBAN: Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham seharusnya tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam sepertimana yang dicatatkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ini seperti yang difahami oleh Koo Ham sendiri bahawa Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan.
Justeru, Ahli Parlimen Jelebu itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Koo Ham agar kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
“Justifikasi beliau bahawa tindakan itu adalah sebagai langkah bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat, adalah tidak berasas dan di luar konteks sebenar.
” Adakah cadangan Koo Ham ini membayangkan bahawa masyarakat bukan Islam berasa terancam dan tidak selesa dengan proses memperkasakan undang-undang Islam di negara kita?
“Jika begitu, harus dijelaskan kepada umum bahawa undang-undang Islam tidak sekali-kali melibatkan masyarakat bukan Islam. Justeru, tiada asasnya untuk bukan Islam melibatkan diri secara rasmi dan khusus dalam hal tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata, dalam konteks di Negeri Sembilan pula, umum mengetahui, masyarakat di sini sudah lama hidup dalam prinsip kerukunan yang menekankan rasa saling menghormati tanpa sempadan kaum dan agama.
“Masing-masing tidak pernah mencampuri urusan agama lain yang dipegang sebagai suatu formula asas hidup dalam masyarakat berbilang kaum serta kepercayaan.
” Justeru, cadangan berkenaan pada saya tidak relevan bagi Negeri Sembilan. Ia juga bagaikan ‘meletakkan garam di luka lama’ ketika mana hubungan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan mula dipulihkan melalui Kerajaan Perpaduan, setelah bermusuhan sejak berpuluh tahun yang lepas,” katanya. – UTUSAN