PETALING JAYA: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan varieti baharu nanas yang dikenali sebagai MS16.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, inisiatif itu susulan kadar penggunaan per kapita nanas yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia dengan nilai 12.2 kilogram (kg) setahun dan kadar kebergantungan import (IDR) yang rendah iaitu 0.2 peratus.
“Hibrid baharu nanas (MS16) ini adalah hasil daripada kerjasama pertukaran janaplasma MARDI pada tahun 1993 dengan Maroochy Horticultural Station di Nambour, Queensland Australia yang membawa kepada pengenalan jenis nanas tanpa duri (pipping leaf) ke Malaysia dan kemudian dikacukkan dengan nanas Josapine bagi menghasilkan populasi hybrid tempatan.
“Penyelidikan ini melibatkan kajian lebih 20 tahun bagi menghasilkan hibrid terbaik untuk kegunaan pasaran nanas segar negara,” katanya dalam kenyataan.
Pelancaran hibrid nanas baharu MS16 itu telah disempurnakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya pada 17 Disember lalu di Stesen MARDI Pontian Johor.
Mohamad Zabawi berkata, hibrid nanas MS16 menunjukkan prestasi terbaik dari ciri saiz buah, pengeluaran sulur yang banyak untuk keperluan pengeluaran bahan tanaman dan bersifat toleran terhadap penyakit reput teras bakteria.
“Berdasarkan kajian penerimaan dan kecenderungan pengguna mendapati MS16 setanding dengan varieti nanas MD2 dari segi kualiti rasa kerana nanas MS16 mempunyai ciri istimewa iaitu rasa buah yang manis dengan nilai kemanisan 16 – 21 peratus Brix, isi berwarna kekuningan, tekstur buah agak rangup, beraroma dan kurang rasa lidas.
“Namun, MS16 dapat disimpan dalam jangka masa sekitar tujuh hari pada suhu rendah (10oC) dan lima hari pada suhu ambien (25 darjah Celcius) yang membolehkannya dipasarkan di pasaran tempatan sebagai nanas segar dan produk terproses seperti jus minuman.
Jelas beliau, penghasilan sulur yang banyak dan daun tanpa duri juga dijangka menjadi faktor yang diminati petani kerana meningkatkan penjimatan kos pengeluaran hasil dan penyelenggaraan ladang.
“Selain itu, MS16 juga juga boleh ditanam di tanah mineral yang boleh membantu mempertingkatkan keluasan kawasan penanaman nanas negara yang pada masa ini lebih tertumpu di kawasan tanah gambut.
“Ini sekaligus akan dapat membantu meningkatkan produktiviti dan sumber pendapatan baharu kepada pengusaha tanaman nanas serta menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara.
“Permintaan sulur nanas MS16 ini sangat tinggi sejak ia mula dilancarkan 17 Disember 2023 lepas, justeru para petani dan peminat nanas yang ingin mendapatkan varieti baharu ini boleh menghubungi terus MARDI Pontian di talian 07-687 1121/1122 untuk membuat tempahan sulur nanas MS16,” katanya. – UTUSAN