PETALING JAYA: Penyanyi, Najwa Latif, mengakui belum bersedia sekiranya diundang untuk tampil di acara showcase ‘Ladies Only’ seperti yang dicadangkan penyanyi Ainan Tasneem di media sosial.
Walaupun Najwa tidak keberatan memenuhi undangan persembahan kecil-kecilan, namun acara seperti showcase memerlukan komitmen dan usaha yang lebih membuatkan penyanyi Cinta Muka Buku itu sedikit keberatan.
“Showcase walaupun nampak simple, tapi memerlukan komitmen dan usaha yang lebih. Buat masa ini saya pula memang tiada perancangan untuk tampil di mana-mana showcase kerana mahu memberi tumpuan kepada pengajian peringkat doktor falsafah.
“Namun begitu, saya masih memenuhi undangan persembahan dan jemputan yang ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Namun begitu, Najwa terkejut dan terharu apabila namanya dipetik oleh peminat di media sosial yang merindui persembahannya.
“Alhamdulillah, saya sangat terharu sebenarnya apabila dimaklumkan mengenai perkara ini.
“Saya sebenarnya baru tahu dan sangat hargai sokongan mereka yang inginkan saya tampil di showcase,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial apabila penyanyi Ainan Tasneem berhasrat untuk mengadakan acara showcase ‘Ladies Only’ khas untuk wanita bersama Tasha Manshahar.
Semasa showcase yang dirancang diadakan tahun hadapan itu, mereka juga bakal mengundang ustazah untuk memberikan sedikit perkongsian.