N13 Kuang diperintah fail pembelaan

N13 Kuang diperintah fail pembelaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pemilik akaun Facebook N13 Kuang untuk memfailkan pembelaan sebelum atau pada 15 Januari depan.

Pembelaan tersebut adalah berhubung saman fitnah yang difailkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada 5 September lalu.

Pada tarikh tersebut, Fahmi memfailkan tiga saman fitnah terhadap pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’, Mohd. Fauzan Madzlan; penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo dan penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd. Rani berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Ahli Parlimen berkenaan ketika dihubungi media memberitahu mahkamah turut mengarahkan Fahmi selaku plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan tersebut sebelum atau pada 29 Januari 2024.

Tambahnya, mahkamah menetapkan 7 Februari depan untuk pengurusan kes lanjutan bagi pihak-pihak memaklumkan mahkamah berhubung status pemfailan dokumen dan permohonan interlokutori, sekiranya ada.

Tarikh-tarikh tersebut ditetapkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar pada pengurusan kes saman itu yang dijalankan secara dalam talian.

Dalam pernyataan tuntutannya, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa plaintif menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Dakwanya, kata-kata fitnah itu disiarkan dalam di akaun Facebook milik Mohd. Fauzan, akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos, serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lalu.

Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sudah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Beliau turut mendakwa, kenyataan fitnah itu dibuat bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet.

Katanya, pihaknya sudah menghantar surat tuntutan bagi ketiga-tiga individu itu menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, membayar ganti rugi dan menyiarkan permohonan maaf kepada plaintif, namun sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif menuntut antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang semua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya