Musim tengkujuh: Harga ikan rakyat melambung

Musim tengkujuh: Harga ikan rakyat melambung

ABDUL Rahman Ali menunjukkan sebahagian ikan yang dijual di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keadaan laut bergelora dan cuaca tidak menentu pada musim tengkujuh ini menyebabkan harga ikan melambung di beberapa pasar di daerah ini sejak pertengahan bulan lalu.

Antara ikan rakyat yang berlaku kenaikan harga ialah selayang, kembong, selar dan kerisi yang naik antara RM3 sehingga RM5 sekilogram (kg) di beberapa pasar awam di daerah ini.

Seorang peniaga di Pasar Cabang Tiga dekat sini, Abdul Rahman Ali, 40, berkata, ikan selayang naik daripada RM7 sehingga RM11/kg manakala ikan kembung daripada RM16 kepada RM19/kg.

Menurutnya, kenaikan itu didakwa berlaku ekoran fenomena air pasang besar dan musim MTL menyebabkan golongan nelayan tempatan di negeri itu tidak ramai yang turun ke laut.

“Selain itu beberapa jenis ikan rakyat yang lain seperti selar juga mengalami kenaikan kepada RM19 berbanding RM15/kg bulan lalu selain ikan kerisi daripada RM12 kepada RM17/kg.

“Turut meningkat adalah harga ikan cencaru (RM12/kg) dan pelaling (RM15/kg) menyebabkan sambutan pengguna agak berkurang sehingga hasil jualan jatuh 50 peratus,” katanya, hari ini.

Sementara itu cuaca tidak menentu di negeri ini juga menyaksikan harga beberapa jenis sayur-sayuran di pasar awam di daerah ini mengalami kenaikan antara RM1 sehingga RM4/kg.

Menurut seorang peniaga, Nurul Hidayah Azam, 48, antara jenis sayur-sayuran yang naik adalah harga timun batang iaitu RM4/kg berbanding RM3 manakala cili merah daripada RM13 kepada RM17/kg.

Selain itu, katanya, turut mengalami kenaikan adalah tomato yang kini berharga RM5 berbanding RM3.90/kg pada pertengahan bulan lalu serta terung panjang daripada RM5 kepada RM9/kg.

“Bekalan sayur yang diterima banyak daripada pengusaha di kawasan kampung dan tanaman mereka terjejas dengan banjir, jadi akan berlaku kenaikan harga tetapi masih terkawal.

Dalam pada itu, seorang pengguna, Fazriza Izni Johari, 28, peningkatan harga barang basah seperti ikan dan sayur ketika musim tengkujuh sudah dijangka namun berharap tidak akan membebankan pembeli.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya