Musa Aman terima ijazah kehormat doktor falsafah UMS

Musa Aman terima ijazah kehormat doktor falsafah UMS

MUSA Aman (kiri) menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Ekonomi Pembangunan) sempena Majlis Konvokesyen UMS Ke-25 di Kota Kinabalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganugerahkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Ekonomi Pembangunan) sempena Majlis Konvokesyen UMS Ke-25, hari ini.

Ijazah kehormat yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim itu dianugerahkan sebagai tanda penghargaan bekas Ketua Menteri itu dalam membangunkan ekonomi Sabah.

Menerusi ucapan balasnya, Musa berkata, beliau amat menghargai penghormatan diberikan oleh UMS kepadanya.

“Bagi saya anugerah yang diberikan oleh UMS kepada saya sangat tinggi nilainya. Justeru, tidak salah rasanya saya kongsikan penghormatan anugerah ini dengan seluruh rakan dalam Kabinet Sabah ketika itu dan teman-teman seperjuangan dalam kepimpinan.

“Tidak lupa juga kepada seluruh ahli keluarga serta pegawai perkhidmatan awam termasuk pegawai-pegawai saya yang sangat berdedikasi ketika berkhidmat membantu saya melaksanakan tugas berat sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Pemimpin veteran itu juga banyak membantu dalam pembangunan dan peningkatan mutu pendidikan Sabah sejak dilantik sebagai Pengarah Yayasan Sabah pada 1994.

“Saya sedar, isu pendidikan sangat penting dan menjadi tunjang utama mencapai kecemerlangan hidup, lebih-lebih lagi negeri Sabah yang pada ketika itu agak tertinggal dalam bidang pembangunan berbanding negeri-negeri lain.

“Saya percaya kejayaan ekonomi yang hebat, peningkatan ilmu pendidikan dan usaha memajukan negeri, sangat berkait rapat dengan iltizam kita untuk melahirkan modal insan berpendidikan tinggi.

“Menyedari kepentingan inilah kerajaan negeri Sabah yang saya pimpin memberikan fokus yang jelas terhadap usaha membina infrastruktur pendidikan berkualiti,” katanya.

Beliau berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sabah selama 15 tahun bermula daripada Mac 2003 sehingga Mei 2018 dan pernah dilantik sebagai Pro-Canselor UMS dari tahun 2005 hingga 2018.

Pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-25 ini, seramai 4,236 graduan menerima ijazah sepanjang empat hari majlis konvokesyen itu berlangsung bermula daripada Isnin sehingga esok (14 Disember). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN