PETALING JAYA: Baru-baru ini tular mengenai majlis perpisahan seorang pengawal keselamatan sekolah yang menyentuh hati pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian video di TikTok @lindalabu, pelajar sekolah dilihat berkumpul untuk memberikan hadiah sebagai penghargaan kepada pengawal keselamatan yang dikenali sebagai Uncle Kittu.
Rakaman video berdurasi seminit 13 saat itu menunjukkan keakraban dan kasih sayang para pelajar sekolah tersebut terhadap Uncle Kittu.
Pelukan erat dan ungkapan terima kasih murid-murid terhadap Uncle Kittu jelas menggambarkan kesetiaan pengawal keselamatan itu dalam menjalankan tugasnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet terharu melihat majlis perpisahan yang diadakan khas buat pengawal keselamatan yang akan berpindah dan berkhidmat di tempat lain.
“Kali pertama aku tengok sekolah buat majlis perpisahan untuk pak guard. Mesti Uncle Kittu ini baik sangat. Sampai aku nangis dibuatnya,” komen @queen_aramia
“Uncle Kittu mesti baik orangnya. Tahniah guru-guru dan ibu bapa kerana mendidik anak-anak untuk hormat sesiapa sahaja tidak kira bangsa,” tulis @mira.burger
Video berkenaan telah tular di media sosial dan menerima sebanyak 1.5 juta tontonan, 6,253 komen dan 103,600 tanda suka. -UTUSAN