Muhamad Arafat dakwa dua ADUN PN mahu sokong kerajaan Perak - Utusan Malaysia

Muhamad Arafat dakwa dua ADUN PN mahu sokong kerajaan Perak

MUHAMAD Arafat Varisai Mahamad (kiri) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta dari PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa sekurang-kurangnya dua ADUN Perikatan Nasional (PN)  berhasrat untuk menyokong pentadbiran Kerajaan Perpaduan Perak.

Menurutnya, malah beliau mendakwa berjumpa sendiri dengan dua ADUN PN itu pada bulan lalu, namun enggan mendedahkan nama mereka.

Jelasnya, mereka memaklumkan hasrat tersebut kerana yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Saya tanya mengapa? Yang pertama mereka menyatakan bahawa soal kepimpinan parti mereka bercelaru, sudah lama tidak bermesyuarat dan hanya memikirkan soal hendak rampas kerajaan. Itu masalah yang dihadapi peringkat dalaman.

“Kedua, mereka seronok melihat kestabilan politik berlaku. Selama ini mereka mungkin diberikan maklumat yang salah oleh kepimpinan mereka. Tetapi hari ini di peringkat Pusat angka bertambah dan kukuh.

“Mereka juga berhasrat untuk bantu rakyat, maksudnya mereka mahu mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan Perpaduan di negeri Perak dengan menyokong kepimpinan. Mereka duduk dalam parti mereka, tidak menyeberang tetapi lebih kepada menyokong kepimpinan Menteri Besar Perak,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri persidangan DUN Perak di sini hari ini.

Dakwaan itu mendapat reaksi segera oleh Ketua Pembangkang Perak yang juga ADUN Gunung Semanggol dari Pas, Razman Zakaria dengan menyatakan dakwaan itu sekadar provokasi politik murahan.

“Terpulanglah kepada individu yang dilantik oleh rakyat. Terjun jambatan sendiri dan membakar jambatan sendiri kalau ada yang hendak melompat.

“InsyaAllah kita yakin pada Pilihan Raya Umum Ke-16 seperti apa yang berlaku di Kemaman. Jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat, kita yakin kawasan majoriti Melayu tiada tempat untuk PH-BN,” katanya.

Mengenai dakwaan sudah lama tidak mengadakan mesyuarat, Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak menyatakan hal itu tidak berbangkit kerana mesyuarat diutamakan jika ada sebarang isu yang perlu dibincangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya