BIARPUN tidak dilahirkan dalam sebuah keluarga beragama Islam, Sabrina Chua, 55, berusaha mendalami ilmu agama termasuk kemahiran asas mengaji.
Sekalipun hampir menjengah usia senja, tidak pernah timbul sekelumit perasaan malu untuk belajar mengaji secara dalam talian.
Namun, semangat berkobar-kobarnya pernah luntur seketika, tatkala individu yang mengajar dirinya mengaji tidak mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.
“Merata-rata saya belajar mengaji. Sampai satu tahap saya berhenti mengaji tiga tahun sebab kecewa bila dapat guru yang tak sabar.
“Saya memeluk Islam dari kosong, hendak menyebut huruf bukannya senang, lebih-lebih lagi lidah masih keras masa itu,” luahnya yang memeluk Islam sejak 1992.
“Masa PKP, kawan saya kongsikan video mengaji online dan baru saya sedar banyak sebutan yang salah.
“Saya belajar mengaji online sebab nak betulkan balik sebutan. Saya teruja dan berlatih sampai lidah terluka masa itu,” kongsi ibu empat anak ini.
Berkat kesungguhan dan kesabaran selama enam bulan, beliau akhirnya berjaya menguasai bacaan dengan baik sehingga kini mempraktiskan semula ilmunya.
“Daripada permulaan tiada apa-apa pengetahuan, akhirnya kini saya ajar mengaji kepada mualaf lain sekitar 35 pelajar,” katanya yang tinggal di Sabak Bernam.