GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di beberapa buah pos penempatan pedalaman di sini terpaksa menempuh perjalanan lebih 10 jam dengan menyeberangi sungai dan melalui tanah runtuh semata-mata mahu mendapatkan makanan serta keperluan harian di bandar ini semasa Monsun Timur Laut (MTL)
Antara penempatan yang terlibat ialah di Pos Gob, Pos Simpor, Pos Balar, Pos Belatim, Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Hau.
Seorang penduduk Pos Balar, Kamal Alek, 38, berkata, pada Isnin lalu lebih 20 Orang Asli menempuh perjalanan lebih 15 jam untuk sampai di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis sebelum ke bandar untuk mendapatkan makanan dan barangan keperluan harian.
“Kami terpaksa meredah kawasan tanah runtuh serta Sungai Ara dengan motosikal meskipun arus deras dan paras air sangat bahaya.
“Antara kawasan tanah runtuh yang teruk adalah di laluan bukit bertanah merah di Kampung Tapai, Bukit Pasir dan beberapa kawasan lagi di laluan Pos Balar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kamal memberitahu, tindakan itu terpaksa diambil bagi mengelakkan mereka berdepan kelaparan sepanjang MTL.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Belatim, Roireng Ngah berkata, setiap kali MTL penduduk di kawasan pedalaman itu akan berdepan kesukaran untuk mendapatkan makanan.
Katanya, setiap kali keluar penduduk terlibat terpaksa mengharungi kawasan tanah runtuh dan bergotong-royong menarik keluar motosikal yang tersangkut di dalam lumpur setinggi kira-kira setengah meter.
“Pada masa sama, mereka juga perlu melalui bawah batang pokok yang tumbang, selain bermandikan air lumpur yang turun dari cerun yang runtuh,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan berkata, pihaknya telah menerima beberapa aduan berkenaan masalah yang membabitkan tanah runtuh dan jalan perhubungan yang terputus sepanjang minggu ini.
Katanya, JKOA menasihatkan masyarakat Orang Asli untuk kekal berada di rumah buat masa ini sementara pihaknya mendapatkan bantuan daripada pihak yang lebih pakar menyelesaikan masalah tersebut.-UTUSAN