KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tidak mengeluarkan sebarang kelulusan buat masa ini bagi penganjuran Program Amazing Perlis New Year’s Eve 2024 Countdown Fiesta di Tasoh Lake Resort.
Yang Dipertua MPK, Norazlan Yahaya berkata, kelulusan tersebut juga tidak dikeluarkan bagi acara konsert yang dikatakan akan turut diadakan semasa penganjuran program berkenaan.
Beliau berkata, MPK mengingatkan semua pihak yang berhasrat menganjurkan sebarang program berbentuk hiburan, jualan, ekspo, karnival dan seumpamanya agar dapat mengemukakan permohonan terlebih dahulu.
“Penganjur perlu mendapatkan kelulusan MPK terlebih dahulu sebelum membuat sebarang hebahan dan promosi bagi menggelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, tular satu iklan hebahan yang mempromosikan penganjuran program berkenaan yang dijadualkan berlangsung menjelang sambutan tahun baru pada akhir bulan ini.
Berdasarkan iklan tersebut, terdapat juga penganjuran acara konsert, pertunjukan bunga api, food truck, street soccer dan pelbagai lagi.
Untuk rekod, Majlis Fatwa Negeri Perlis pada 11 Jun 2016 lalu telah mengeluarkan garis panduan bagi sebarang acara persembahan hiburan di negeri ini yang tidak seharusnya mengandungi sebarang anasir bertentangan dengan syarak.
Antara garis panduan berkenaan turut mengkehendaki agar pelaksanaan sebarang acara hiburan hendaklah tidak mendorong kepada sifat dan kelakuan melampau yang merendahkan akhlak mulia insani.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli sewaktu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini turut menyatakan bahawa kerajaan negeri mencadangkan agar tiada sebarang program hiburan berbentuk nyayian dan tarian melalaikan sewaktu sambutan ambang tahun baharu di Perlis sebagai tanda solidariti ke atas rakyat Palestin.
Katanya, cadangan itu adalah selepas melihat perkembangan semasa di mana isu berkaitan Palestin ini semakin dipandang sepi oleh banyak pihak.-UTUSAN