KOTA KINABALU: Walaupun belum ada keputusan konkrit mengenai kerjasama antara UMNO dan Parti Warisan (Warisan), kedua-dua pemimpin parti itu tidak menolak kemungkinan membentuk kerjasama menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sekiranya itu yang diinginkan akar umbi, maka tiada alasan menolak pembentukan kerjasama UMNO dan Warisan.
“Jika itu yang mereka mahukan, tiada alasan untuk kami tidak bekerjasama sebab kita percaya pada akhirnya mana-mana parti tunggal di Sabah apabila tiba masanya, mereka kena bekerjasama dengan parti dari Semenanjung.
“Ini bukan untuk kepentingan Warisan dan UMNO tetapi demi kepentingan rakyat dan wilayah Sabah, Jadi, rakyat kena bersama-sama kita,” katanya selepas Perhimpunan Agung Tahunan Warisan, di sini hari ini.
Beliau berkata, kehadiran Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada perhimpunan itu adalah bagi membincangkan tentang keadaan untuk kepentingan rakyat dan wilayah Sabah yang mungkin boleh diterjemah menerusi kerjasama.
“Saya nyatakan kepada Bung Moktar bahawa kita di sini, kalau perlu kerjasama, ia adalah demi kepentingan rakyat dan wilayah Sabah. Insya-Allah mudah-mudahan sekiranya kalau (kerjasama) itu jadi kenyataan,” katanya.
Menurut beliau, di peringkat parti penerimaan akar umbi amat positif jadi terserah kepada kepemimpinan parti untuk memuktamadkan kerjasama tersebut.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pendirian Warisan cukup jelas bahawa kerjasama yang ingin dijalinkan adalah demi kepentingan rakyat dan wilayah Sabah.
Ditanya mengenai prestasi UMNO yang agak menurun, Mohd. Shafie berkata, kerjasama yang ingin dibentuk memberi fokus kepada perjuangan hak dan kepentingan Sabah, bukannya kepada prestasi UMNO.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang mahu memberi keutamaan kepada memperjuangmasalah asas seperti bekalan elektrik, air, pendidikan dan kesihatan yang menjadi isu utama di Sabah.
Mengulas mengenai rombakan Kabinet Persekutuan, Mohd. Shafie berharap apabila Hal Ehwal Sabah dan Sarawak diletakkan di bawah tanggungjawab Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, isu-isu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat diselesaikan.
Katanya, langkah penyelesaian perlu diambil dan bukan lagi menubuhkan jawatankuasa kerana sudah berulang kali rundingan dilakukan.
Terdahulu, Bung Moktar juga tidak menolak kemungkinan membentuk kerjasama UMNO-Warisan namun, beliau tidak dapat menyatakan bila perkara itu akan dimuktamadkan. – UTUSAN