Mohd. Sany berseloroh bakal terajui KPDN - Utusan Malaysia

Mohd. Sany berseloroh bakal terajui KPDN

MOHD. Sany Hamzan berucap pada Konvensyen Pemuda Amanah Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan secara berseloroh mengatakan akan mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Reaksi beliau itu ketika ditanya berkaitan kekosongan jawatan berkenaan selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

“Yang saya dengar nama Hulu Langat kuatlah. Kalau beliau (Perdana Menteri) lantik saya (sebagai Menteri KPDN), saya panjatkan kesyukuran kepada Allah,” ujarnya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Perak 2023, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Komunikasi Amanah Perak, Azhar Rahman dan Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim.

Menurut Mohd. Sany yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), parti itu telah pun menghantar sekurang-kurangnya dua nama calon untuk pertimbangan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengisi jawatan Menteri KPDN.

Bagaimanapun katanya, terpulang kepada Anwar untuk membuat keputusan kerana pemilihan anggota Kabinet adalah di bawah kuasa Perdana Menteri.

“Amanah sudah pun menghantar nama untuk jawatan itu, sekarang terpulanglah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya.

“Kita pun tidak tahu bila tarikh (lantikan) sebab apabila ditanya kepada Perdana Menteri, beliau maklumkan dalam masa terdekat.

“Kita faham yang Perdana Menteri pasti ada penelitian dan kriteria sendiri untuk melantik seseorang bagi jawatan yang ditinggalkan Allahyarham. Bagi kita, mungkin melihat dengan dua biji mata tetapi sebaliknya beliau melihat dengan 100 biji mata,” katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Jawatan Menteri KPDN kini dipangku oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah bagi penggal 2023-2026, Mohd. Sany menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya.

“Jika perwakilan di seluruh negara merasakan saya perlu untuk duduk lagi sebagai ahli jawatankuasa nasional maka pilihlah saya berdasarkan merit, gerak kerja, komitmen, amanah dan rasa tanggungjawab yang diberikan.

“Saya tidak mahu dipilih berdasarkan kepada ‘cai’. Cai ini maksudnya pilih pemimpin berdasarkan kelompok. Ini antara wabak atau musibah menjelang pemilihan. Semakin dekat pemilihan, kita akan dengarlah perkara ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya