TEMERLOH: Keperitan hidup pasangan suami isteri di Kampung Teluk Ira di sini yang lebih 20 tahun tinggal di sebuah stor baja yang agak sempit berakhir setelah memperoleh sebuah kediaman baharu sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Cawangan Temerloh.
Rumah baharu bernilai RM75,000 itu siap dibina Oktober lalu dan replika kunci diserahkan oleh Pengurus Cawangan Muip Temerloh, Mohd. Faitullah Saadon kepada pasangan terbabit, Hasmah Yaakob, 46, dan suaminya, Radin Galoh Ahmad, 48, di sini kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hasmah yang merupakan suri rumah berkata, sebelum ini, dia dan keluarganya lebih 20 tahun berteduh di sebuah stor baja yang agak sempit.
“Stor itu sudah diubah suai supaya agak luas sedikit bagi keselesaan tempat tinggal ini terutamanya empat orang anak berusia tiga hingga 26 tahun.
“Suami saya cuma bekerja kampung dan memperoleh pendapatan tidak seberapa, manakala saya seorang suri rumah mana mampu hendak membina rumah baharu,” katanya di Kampung Teluk Ira di sini.
Menurut Hasmah, kehidupan mereka yang serba kekurangan sebelum ini mendapat perhatian pihak Muip apabila permohonan yang dibuat pada Januari tahun ini diluluskan dan pembinaan rumah baharu bermula Ogos dan siap Oktober lalu.
Sementara itu, Radin Galoh berkata, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kesusahan mereka tanpa kediaman tetap mendapat perhatian Muip dan diibaratkan rezeki turun ke riba serta cukup bernilai bagai keluarganya sepanjang hayat.
“Saya berterima kasih kepada Muip, pihak pengurusan kampung dan mereka yang membantu sehingga mengubah kehidupan kami yang mulanya menginap di stor yang sempit kini berpindah di rumah baharu yang selesa,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Faitullah berkata, sebanyak lima buah rumah baharu dibina dan diluluskan pada tahun ini melibatkan kos keseluruhan bernilai RM434,000.
“Sehingga kini, sebanyak empat buah rumah sudah siap dibina termasuk rumah keluarga Hasmah, manakala bakinya dalam proses akhir pembinaan,” katanya.
Ujarnya, selain yang masih dalam pembinaan, Muip juga sudah meluluskan 17 buah rumah termasuk rumah masyarakat Orang Asli di daerah ini untuk kerja baik pulih membabitkan kos bernilai RM452,000 untuk tahun ini.-UTUSAN