Menggeletar terserempak harimau belang - Utusan Malaysia

Menggeletar terserempak harimau belang

LOKASI seekor harimau belang dijumpai berhampiran sebuah kolam dekat ladang kelapa sawit di Taman Dovenby Fasa 2, Sungai Siput hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: “Saya berlari sekuat hati dengan badan menggeletar. Harimau itu betul-betul dalam posisi untuk menerkam.”

Demikian cerita Muhammad Luqman Haqim Muhamad Ghazalim, 22, yang terserempak seekor harimau belang ketika memancing di sebuah kolam di ladang kelapa sawit di Taman Dovenby Fasa 2, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Luqman Haqim, kejadian sekitar pukul 2 petang itu berlaku ketika dia baharu sahaja tiba di kolam berkenaan sebelum dikejutkan bunyi ngauman harimau dari arah belakang.

Katanya, sebaik sahaja menoleh ke belakang, dia terperanjat apabila melihat seekor harimau berada di pangkal pokok kelapa sawit pada jarak tiga meter.

“Saya lihat haiwan itu seakan-akan mahu menyerang. Ketika itu, saya cuba bertenang dan perlahan-lahan berundur bagi menjarakkan diri.

“Selepas yakin keadaan selamat, saya berlari sekuat hati ke kuil berhampiran. Dalam keadaan cemas itu, saya minta bantuan orang ramai untuk hubungi pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya yang bekerja di sebuah kilang itu, kolam tersebut bukan lokasi asing untuknya kerana biasa dikunjungi sejak kecil.

“Saya bersyukur kerana terselamat. Tidak tahulah apa akan terjadi jika tidak sempat menyelamatkan diri. Saya rasa, mungkin tidak akan datang lagi ke sini, rasa betul-betul trauma,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, Mohd. Jamalludin Mat Yusop berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 2.12 petang.

Katanya, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian dengan menjalankan pemantauan secara berkumpulan selain mengambil gambar tapak kaki haiwan dipercayai harimau.

“Maklumat berkaitan penemuan itu telah pun disalurkan kepada pihak polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff memaklumkan, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk kawalan di lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya