PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk M. Nasir menyarankan pencipta lagu di negara ini lebih agresif menggunakan kaedah pemasaran terkini membabitkan platform penstriman dan media sosial untuk memasarkan lagu ciptaan mereka ke peringkat antarabangsa.
Kata penyanyi yang terkenal dengan julukan ‘sifu’ itu, pendekatan itu penting untuk membolehkan karya-karya yang dihasilkan mudah menembusi pasaran negara lain seperti Indonesia yang kepadatan penduduknya luar biasa tinggi.
“Pasaran Malaysia kecil. Jadi, kalau mahu pulangan lebih besar, cuba tembusi negara yang pasarannya lebih besar seperti Indonesia.
“Tapi kaji dan fahami dulu citarasa pendengar mereka. Kemudian, guna platform penstriman dan media sosial untuk masuk pasaran.
“Sekarang dunia tanpa sempadan, bukan seperti dahulu yang mana kita terlalu bergantung kepada radio dan televisyen semata-mata,” katanya yang ditemui pada majlis Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), baru-baru ini.
Penggiat seni bertaraf legenda itu diiktiraf sebagai pencipta dengan pendapatan tertinggi di Malaysia selain mengungguli dua anugerah lain termasuk Persembahan Lagu Melayu Terbanyak, Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi pada acara tersebut.
Dalam pada itu, M. Nasir juga menggalakkan pencipta tempatan terus menghasilkan lagu-lagu berkualiti untuk diketengahkan di semua peringkat.
“Banyak lagu-lagu kita yang popular di Indonesia, contoh yang dihasilkan komposer, Saari Amri. Ini menandakan potensi lagu tempatan untuk diketengahkan di Indonesia, besar.
“Tinggal sahaja kita fikirkan cara untuk menularkan lagu-lagu tersebut di platform media sosial dan dalam talian.
“Contoh lagu Tiara yang bukan sahaja kembali melonjak, tetapi juga mengumpul jumlah tontonan luar biasa iaitu lebih 200 juta selepas dinyanyikan semula penyanyi-penyanyi Indonesia di pelbagai platform penstriman dan media sosial,” ujarnya.-UTUSAN