MBPJ pupuk kesedaran melalui majlis Anugerah Sekolah Lestari

MBPJ pupuk kesedaran melalui majlis Anugerah Sekolah Lestari

TIMBALAN Setiausaha Pembangunan MBPJ, Ir Ismail Shafie menyampaikan hadiah kepada pemenang Tugasan Pertama Kategori Sekolah Rendah Tahap 1.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama menganjurkan majlis Anugerah Sekolah Lestari Petaling Jaya 2023 bagi program pengurusan dan kecekapan tenaga serta program kitar semula.

Menerusi kenyataan MBPJ, majlis tersebut bertujuan meningkatkan pemahaman dan pendidikan seawal dari peringkat tadika sehingga kolej tingkatan 6.

Menurut kenyataan itu lagi, matlamat majlis adalah untuk memupuk kesedaran mengenai amalan kecekapan penggunaan tenaga dalam kalangan guru, pelajar serta ahli keluarga seterusnya masyarakat umum melalui pendidikan di sekolah.

SEKOLAH Kebangsaan  Sri Kelana membawa pulang RM4,050 hasil dari usaha mengamalkan 3R.

“Majlis ini adalah kemuncak kepada program setahun yang diadakan bersama sekolah-sekolah di Petaling Jaya.

“Bagi program pengurusan kecekapan tenaga majlis yang diuruskan oleh Jabatan Kawalan Bangunan telah mula memberi taklimat pada awal tahun kepada 58 buah sekolah yang hadir dan telah menerima penyertaan dari 37 buah sekolah.

“Sebanyak tiga tugasan diberikan kepada pihak sekolah iaitu penghasilan poster digital, aktiviti di sekolah dan juga pemantauan untuk pengurusan penggunaan elektrik di sekolah sebelum pemilihan pemenang ditentukan oleh lapan orang juri,” katanya.

Turut diraikan dalam majlis itu adalah pemenang Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Dan Tadika Bersama F&N bagi tahun 2023 yang diurussetia oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Dalam pada itu, MBPJ menjelaskan, pertandingan itu telah dijalankan pada 2018 dan menjadi program tahunan majlis bersama F&N dan Tetra Pak namun program tersebut terhenti seketika pada 2020 hingga 2022 disebabkan pendamik Covid-19.

Menurut kenyataan itu, sebanyak lapan tadika, tujuh sekolah kebangsaan dan lapan sekolah menengah telah menyertai pertandingan tersebut dengan jumlah kutipan barangan kitar semula sebanyak 30,792 kilogram.

“Majlis amat berharap agar pertandingan ini dapat diteruskan dan mendapat sambutan yang lebih meluas dengan peningkatan jumlah penyertaan daripada tadika dan sekolah-sekolah di Petaling Jaya.

Diharap dengan adanya kerjasama erat daripada semua pihak sama ada pentadbir, guru-guru atau daripada PPD Petaling Utama khususnya mencapai matlamat utama majlis menjadi sebuah Bandaraya Berkarbon Rendah menjelang 2030,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN