KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki yang ditemukan di dalam sebuah kereta berhampiran tapak jualan but kereta di Kota Damansara, semalam disyaki membunuh diri selepas polis menjumpai arang berasap di dalam kenderaan itu.
Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Superintenden M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, lelaki tempatan berusia 40-an tersebut dipercayai sudah meninggal dunia lebih lima hari.
“Lebih kurang 12.04 tengah hari, Balai Polis Kota Damansara menerima satu laporan berhubunh kematian seorang lelaki.
“Siasatan awal mendapati si mati dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh lebih lima hari,” katanya di dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan, tular sebuah video yang memaparkan pengunjung tapak juala but kereta tersebut menemukan mayat seorang lelaki berserta satu nota pesanan.
M. Hussin berkata, setakat ini siasatan diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).
“Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Ketua Polis Balai Kota Damansara di talian 011-3205 2052 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN