Mayat lelaki OKU ditemui dalam longkang - Utusan Malaysia

Mayat lelaki OKU ditemui dalam longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Mayat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui terapung dalam longkang besar di Jalan Pasir Panjang, Kampung Koh, Sitiawan, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, memberitahu mayat lelaki berusia 42 tahun itu ditemui orang ramai kira-kira pukul 5 petang.

“Ketika anggota tiba di lokasi kejadian, didapati mayat itu telah tersangkut di batang paip dalam longkang tersebut,” katanya di sini.

Menurutnya, polis terpaksa meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat bagi mengeluarkan mayat itu berikutan longkang tersebut mempunyai ketinggian empat meter dan kedalaman air kira-kira 1.5 meter.

Jelasnya, semakan lanjut terhadap bapa mangsa mengatakan anaknya yang menghidapi penyakit mental keluar dari rumah kira-kira pukul 9 malam Rabu lalu dan tidak pulang ke rumah sehingga mayatnya dijumpai.

Kata beliau, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk dilakukan ujian Covid-19 serta bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Beliau memberitahu, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu agar menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya