SEGAMAT: Lelaki yang maut akibat disengat tebuan tanah di sekitar Hutan Simpan di Jalan Temayong Labis, di sini petang semalam pernah berseloroh tentang kematian di depan isterinya dengan mengatakan ‘mati nanti juga seorang diri di dalam liang lahad’.
Norlinda Jamil, 34, berkata, dua hari lalu suaminya itu, Halmi Tahrin, 42, meminta dia pulang ke rumah keluarga di Felda Moakil bersama anak-anak sebelum menyertai aktiviti permotoran dan perkhemahan bersama rakan-rakannya di hutan simpan berkenaan.
“Arwah suami menyatakan dia tidak kisah ditinggalkan bersendirian di rumah kami di Felda Tenang kerana dia (arwah) menyatakan nanti mati pun seorang diri juga dalam kubur.
“Saya anggap kata-kata itu hanya gurauan kerana arwah sangat sayang dan rapat dengan anak-anak kami dan dia berkata begitu beberapa hari sebelum meninggal dunia.
“Saya tidak sangka itu permintaan terakhir suami untuk saya tinggal di rumah keluarga sebelum dia maut dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini, hari ini.
Norlinda yang juga seorang suri rumah berkata, dia kini bimbang mengenangkan nasibnya bersama tiga anak yang masih kecil selepas suami yang menjadi tempat mereka berteduh, meninggal dunia akibat disengat tabuan tanah semalam.
Dia juga mengakui bagai tidak percaya dan hampir pengsan selepas mendapat tahu suaminya maut dalam kejadian itu.
Norlinda berkata, suaminya yang juga kakitangan di ladang sawit disengat tebuan tanah di bahagian belakang badan ketika menyertai aktiviti perkhemahan dan permotoran itu pada pukul 2.24 petang semalam.
“Banyak perubahan yang berlaku pada diri arwah suami saya sebelum dia meninggal dunia antaranya berubah sikap menjadi amat penyayang dengan semua ahli keluarga.
“Arwah juga menjadi amat kelakar, gemar bergurau senda, sedangkan sebelum itu arwah agak pendiam. Kami semua juga berasa pelik dengan sikapnya.
“Namun kami tidak menyangka banyak perubahan yang berlaku pada diri arwah itu sebagai petanda dia mahu pergi menemui Illahi.
“Memang nampak perubahan itu tetapi saya tidak fikir bukan-bukan sebaliknya menganggap perubahan dan gurauan itu perkara biasa kerana mungkin arwah ingin berubah,” katanya.
Ibu kepada tiga cahayamata lelaki berusia lima tahun, lapan tahun dan 15 tahun itu juga menyifatkan arwah suaminya adalah suami dan bapa yang sangat baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga.
Dalam pada itu, Norlinda berhasrat mencari sumber rezeki sendiri selepas ini namun belum pasti ingin bekerja atau berniaga sendiri memandangkan dia masih terkejut kehilangan suaminya secara tiba-tiba.
Katanya, dia sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan membanting tulang empat kerat bagi mendapatkan rezeki untuk membesarkan anak-anaknya biarpun mengakui sukar untuk menempuh kehidupan tanpa arwah di sisi.
“Sukar untuk menerima kenyataan yang suami sudah tiada apatah lagi dalam sekelip mata, tetapi saya reda kerana Allah lebih sayangkan dia.
“Mohon doakan saya dan anak-anak tabah dalam menghadapi ujian berat ini dan saya akan memastikan pembelajaran mereka tidak terabai,”ujarnya sayu. – UTUSAN