CYBERJAYA: Pelawak lagenda sejak era 1950-an, Mat Sentol, 90, atau nama sebenarnya Abd. Rasip Yahya menerima Anugerah Kehormat Permata Dunia sempena Majlis Konvokesyen Universiti Multimedia (MMU), hari ini.
Mat Sentul yang juga dikenali watak Mat Bond bagaimanapun tidak dapat hadir untuk menerima anugerah itu akibat keuzuran dan masalah kesihatan.
Anugerah itu diserahkan kepada cucu Mat Sentul, Ain Akashah Rosarif, 26, oleh Pro Canselor MMU, Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid pada istiadat konvokesyen itu pagi ini.
Ain Akashah ketika ditemui berkata, beliau berbangga di atas anugerah diterima datuknya itu kerana ia pengiktirafan tertinggi diraih dalam bidang seni.
“Sepatutnya bapa mewakili datuk menerima anugerah ini, tapi dia juga tak dapat hadir kerana tak sihat,” katanya.
Ain memberitahu, dia terkejut apabila dihubungi bapa saudara, Roslee Rashid, 61, yang menetap di Johor pada Selasa lalu yang memintanya mewakili keluarga untuk menerima anugerah itu bagi pihak datuk.
Bagaimanapun, dia terharu kerana masih ada pihak yang menghargai usaha datuknya dalam bidang seni walaupun sudah tidak aktif dalam bidang seni.
“Terima kasih MMU atas penganugerahan ini sekali gus menjadi kenangan buat kami sekeluarga terutama dalam mengenang usaha dan kegigihan datuk sepanjang terbabit dalam bidang seni,” katanya yang pernah berlakon dalam iklan, antaranya Tora dan Dendang Datang Lagi.
Dia turut mengakui sangat rapat dengan datuknya, malah sering bertukar pendapat mengenai seni dan kerjaya selain menggalakkannya supaya menceburi bidang seni jika mahu hidup senang.
Mat Sentol dikenali ramai atas daya kreativitinya menghasilkan beberapa filem seperti Mat Bond dan Mat Magic walaupun ketik itu tiada teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) seperti hari ini.
Mat Sentol juga adalah seangkatan dengan Allahyarham Wahid Satay, malah sempat membintangi beberapa filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.
Tidak hanya itu, seniman berkaliber tanah air ini juga turut aktif menyumbangkan suaranya dalam penyiaran iklan televisyen dan radio seperti Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo. – UTUSAN