Mat rempit mengaku salah rempuh polis trafik - Utusan Malaysia

Mat rempit mengaku salah rempuh polis trafik

Polis trafik
MUHAMMAD Khairul Syazwan Sulaiman (tengah) tiba di Mahkamah Majistret atas pertuduhan merempuh seorang anggota polis trafik, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penunggang motosikal mengaku salah atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan merempuh seorang anggota polis trafik ketika operasi sekatan jalan raya pada 3 Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Khairul Syazwan Sulaiman membuat pengakuan demikian di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas kertas pertuduhannya di bacakan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, remaja berusia 22 tahun itu dengan sukarela dan sengaja menghalang Koperal Ahmad Haizaki Salimon dalam menjalankan tugas Penguatkuasa Kawalan Lalu Lintas Cawangan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang merupakan penjawat awam apabila enggan memberikan kerjasama ketika arahan untuk memberhentikan kenderaan jenis motosikal Yamaha Y15 ditungganginya bagi tujuan pemeriksaan.

Bagi pertuduhan kedua, pekerja sebuah gudang itu dituduh menunggang motosikal tersebut secara berbahaya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan dekat Persiaran Sultan dari arah Hotel Mardhiyyah Shah Alam menghala ke Persiaran Pebandaran di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Justeru, Muhammad Khairul Syazwan dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan dua tahun penjara atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara dalam pertuduhan kedua dia didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM15,000 atau kedua-duanya.

Peguam mewakili tertuduh, Shalehhuddin Salam kemudian memohon penangguhan berikutan anak guamnya masih menjalani rawatan akibat rempuhan tersbut.

“Saya memohon penangguhan kepada suatu tarikh bagi bacaan hukuman dan fakta kes memandangkan tertuduh masih menjalani rawatan tulang matanya yang patah di Hospital Shah Alam.

“Permohonan juga dibuat supaya tertuduh bersedia pada tarikh tersebut. Saya juga memohon jaminan ditawarkan kepada tertuduh,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian kemudian menawarkan jaminan RM5,000 dan RM6,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Bagaimanapun, peguam memohon jaminan tersebut dikurangkan apabila tertuduh sudah pun mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di awal prosiding.

“Tertuduh merupakan seorang pekerja gudang dengan pendapatan RM1,500 sebulan. Kemudian anak guam saya juga memberi kerjasama dalam siasatan dan ibu bapanya juga hadir pada prosiding hari ini untuk menjaminnya.

“Justeru saya mohon jaminan dikurangkan kerana ia cuma bagi memastikan kehadiran tertuduh yang akan menentukan hukuman dan bacaan fakta kes,” ujarnya.

Majistret kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan serta menetapkan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan memutuskan 7 Februari depan untuk sebutan hukuman dan fakta kes.

Utusan Malaysia pada 3 Disember lalu melaporkan seorang anggota polis berpangkat koperal nyaris maut apabila dilanggar oleh penunggang motosikal yang cuba mengelak daripada ditahan dalam satu operasi sekatan jalan raya berhampiran sebuah pusat beli belah di sini malam tadi.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam menyebabkan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu mengalami kecederaan di bahagian muka dan badan serta tidak sedarkan diri hampir lima minit selepas dirempuh.

Pelanggaran itu turut mengakibatkan penunggang motosikal berusia 21 tahun itu mengalami benjol di bahagian dahi kanan selain luka di siku kiri dan kaki selepas terbabas dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya