PERBEZAAN mazhab yang diamalkan di Masjid India, di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur membuktikan Islam itu penuh keindahan dan kepelbagaian.
Walaupun mengamati cara dan hukum berlandaskan Mazhab Hanafi dalam pelaksanaan tatacara beribadah, pengurus masjid itu, Muhammad Nasrul Haq berkata, umat Islam dari pelbagai lapisan masyarakat tetap dapat melaksanakan ibadah secara harmoni.
“Contohnya, bacaan bismillah tidak dibaca secara kuat semasa al-Fatihah, tiada doa qunut semasa solat Subuh dan waktu Asar yang lebih lewat berbanding masjid lain.
“Kalau pukul 4.30 petang sudah masuk Asar, masjid ini akan azan pada pukul 5.30 petang. Ini menunjukkan keunikan Islam yang terdiri daripada empat mazhab utama,” kongsinya.
MASJID PEDAGANG
Masjid India diasaskan pada 1863 oleh pedagang India Muslim yang dikenali sebagai ‘Chulia’, golongan yang berasal dari jajahan Madras di India Selatan.
Antara kelainan ketara ialah penyampaian khutbah yang disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Tamil.
Bahkan semua aktiviti turut disampaikan dalam bahasa sama kerana rata-rata pengunjung adalah dalam kalangan India Muslim.
“Melainkan kalau ada kunjungan daripada pihak istana dan Sultan mencemar duli, baru kita laksanakan program dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris,” kata Pengurus Masjid itu, Muhammad Nasrul Haq Abdul Latif.
Lokasinya yang strategik di tengah-tengah pusat perniagaan menjadikan masjid setinggi tiga tingkat ini tumpuan ramai.