DE FAM muncul antara kumpulan wanita tempatan yang cukup lama bertahan dengan pembabitan lebih 10 tahun dalam dunia seni tanah air.
Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana sepanjang tempoh itu meraih pelbagai pencapaian termasuk penghasilan rangkaian single hits antaranya Supergirls, With You, Bila Kamu dan Panas.
Namun progres trio yang layak diberi jolokan Triple Threat ini kelihatan sedikit perlahan beberapa tahun kebelakangan ini apabila ketiga-tiganya terlihat lebih sibuk menjayakan projek secara individu.
Ditambah lagi dengan kehadiran kumpulan wanita yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan membuatkan populariti De Fam jatuh menjunam.
Situasi itu menghadirkan pelbagai persoalan tentang masa depan kumpulan ini. Hadir pemerhati yang menjangkakan De Fam bakal mengikuti jejak langkah kumpulan-kumpulan wanita terdahulu yang selepas beberapa tahun, berpecah.
Namun , tanggapan tersebut meleset dengan kemunculan single kelima mereka, Berubah tahun ini. De Fam membuktikan mereka relevan apabila lagu berentak slow pop itu berjaya mencuri tumpuan.
Azira, ketika menjawab tentang hala tuju kumpulan itu memaklumkan De Fam belum sedia mencari titik noktah. Malah, kesibukan dengan kerjaya persendirian bukan bermaksud mereka sedang mencari kata pisah.
“Kami masih bersama, walaupun kebanyakan masa kami sibuk dengan projek masing-masing.
“Malah, kisah yang diceritakan dalam muzik video lagu tersebut juga sudah cukup menjelaskan bahawa kami tetap bersama sebagai sebuah kumpulan,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Cik Manggis memaklumkan setiap ahli De Fam, sejak awal penubuhan kumpulan itu lagi, sedia aktif dengan minat dan projek secara individu.
Oleh itu, pembabitan seni secara berasingan dalam kalangan mereka bukan perkara baharu dan bukan juga petanda De Fam bakal berakhir.
“Kami sedari dulu mempunyai minat serta haluan masing-masing. Bererti kami bebas membina kerjaya persendirian meskipun bergerak dalam satu kumpulan.
“De Fam tetap keutamaan. Disampingnya, kami juga ada haluan kami sendiri,” ujarnya.
BERUBAH KE SFMM38
Buat pertama kali, De Fam layak ke Semi Final Muzik Muzik ke-38 (SFMM38) menerusi lagu Berubah. Kejayaan itu menyaksikan mereka selangkah ke Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang bakal dipentaskan sekitar Mac tahun hadapan.
Azira, Cik Manggis dan Sophia nyata gembira dan bersyukur kerana hasrat mereka untuk ke SFMM dengan ‘bersenjatakan’ lagu sendiri, tercapai.
“Besar hasrat kami untuk ke AJL dengan lagu ini. Alhamdulillah, akhirnya kami melangkah ke semi final. Kami dalam landasan yang betul.
“Lagu ini ada kekuatan sendiri. Dengannya, kami membuktikan De Fam bukan sekadar dance group kerana kami juga ada kelebihan vokal yang boleh dipersembahkan.
“Malah sejak dari dulu, kami belajar dengan guru vokal, Shafizawati Sharif (Cikgu Shafi) untuk perbaiki mutu nyanyian kami. Itu juga menjadi persediaan untuk SFMM38 nanti,” kata Azira.