PETALING JAYA : Anak-anak yang dilahirkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) masih berpeluang untuk berdikari, bijak berkomunikasi dan menjalani rutin kehidupan normal jika ibu-bapa segera bertindak menghantar mereka ke sekolah keperluan khas.
Pengetua Sekolah Pendidikan Khas Taarana, Dr. Sunitha Sivakumaran berkata, di sekolah anak-anak tersebut didedahkan dengan kepelbagaian bentuk kemahiran yang memerlukan sokongan keluarga mempraktikkan di rumah.
“Kerjasama yang erat ini akan memastikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di sekolah turut dipraktikkan di rumah, di samping menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih berintegrasi dan menyokong keperluan para pelajar.
“Di sini, kami berusaha menzahirkan potensi setiap pelajar berkeperluan khas melalui kurikulum yang direka untuk memperkasakan mereka agar boleh berdikari dan menyumbang kepada masyarakat. Situasi tersebut mendorong mereka menjadi orang dewasa yang dapat menghadapi masa depan dengan penuh keyakinan,” ujarnya.
Beliau demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Keluarga dan Krismas bersama ibubapa, para guru serta pelajar untuk meraikan prestasi para pelajar di samping menekankan kepentingan sokongan antara warga sekolah dan ibu bapa.
Sambutan tersebut ini dimeriahkan dengan pelbagai permainan yang direka khusus agar para pelajar serta keluarga bekerjasama dalam menyelesaikan cabaran, teka-teki dan aktiviti interaktif yang lain.
Taarana, yang bermaksud kebangkitan dalam bahasa Sanskrit, ditubuhkan pada tahun 2011 oleh Yayasan RYTHM, sebuah inisiatif impak sosial oleh Kumpulan Syarikat QI. Sekolah ini menangani keperluan mendesak untuk sumber dan sokongan yang diperlukan oleh kanak-kanak kurang upaya serta keluarga mereka.
Sementara itu, Ketua Yayasan RYTHM Santhi Periasamy berkata, majlis sambutan akhir tahun tersebut sebagai tanda penghargaan kepada seluruh keluarga besar Taarana.
“Sambutan hari ini mencerminkan nilai-nilai murni yang mendasari komitmen Yayasan RYTHM untuk memupuk transformasi sosial melalui Pendidikan.
“Acara ini bukan sahaja mencipta detik gembira untuk para pelajar dan ahli keluarga mereka, tetapi turut memperlihatkan usaha dalam menyediakan pengalaman pendidikan yang holistik dan memenuhi keperluan pelajar.
“Misi penting Yayasan RYTHM adalah meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya pendidikan keperluan khas di samping memperjuangkan inklusiviti sosial dalam usaha mengurangkan stigma terhadap kanak-kanak berkeperluan khas,” ujarnya