HUBUNGAN penyanyi, Marsha Milan, dengan keluarganya yang beragama Kristian tidak pernah berubah sedikitpun walaupun penyanyi itu membuat keputusan bergelar seorang muslim sejak selepas bernikah dengan suami, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail pada tahun 2014.
Bahkan, kasih sayang mereka begitu erat dan sama-sama meraikan perayaan seperti Hari Krismas.
Tahun ini, awal-awal lagi penyanyi Sumandak Sabah itu sudah mengambil cuti dan bakal pulang ke Sabah untuk memeriahkan hari Natal bersama keluarganya pada Sabtu. Marsha masih ingat, seorang ustaz menasihatinya untuk sentiasa menjaga hubungan baik bersama keluarga.
“Saya pernah bertanya kepada ustaz mengenai hukum perayaan. Nasihatnya agar sentiasa memasang niat yang baik dalam menjaga hubungan silaturrahim dengan keluarga.
“Jadi, Hari Natal mahupun Aidilfitri adalah perayaan yang saya nantikan kerana itulah masanya saya pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Lagipula keluarga saya berfikiran terbuka, sehingga suami saya pun tidak berasa kekok kerana ibu bapa saya sangat mengalu-alukan kehadirannya,” katanya kepada Hits.
Sudah siap hadiah
Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia sudah pun membeli hadiah buat adik beradiknya di Tamparuli, Sabah. Lucunya, dia terpaksa meminta bantuan kakak untuk menyembunyikan hadiah tersebut agar tidak diketahui ahli keluarganya yang lain.
“Sebenarnya dalam tempoh sebulan ini saya banyak dapat jemputan nyanyian di Sabah. Jadi setiap kali ke Sabah, saya akan bawa sedikit demi sedikit hadiah untuk diletakkan di rumah kakak.
“Mujurlah kakak okay. Sekarang semua hadiah sudah lengkap dibeli. Cuma saya akan balut hadiah itu bila pulang nanti,” katanya.
Bercerita mengenai hari Natal, keluarga Marsha wajib menyediakan nasi berlauk sebagai santapan mereka berkeluarga. Namun, apa yang lebih istimewa, mereka akan membuat kek sendiri pelbagai perisa setiap kali Krismas. Semuanya mewarisi kemahiran ibu, Missie, 69, yang memang dikenali sebagai usahawan kek di tempatnya.
“Ibu saya, memang buat perniagaan kek kalau ada majlis ulang tahun kelahiran atau perkahwinan.
“Setiap tahun kami akan buat kek bersama-sama tak kiralah perisa coklat ataupun lobak merah. Masing-masing pula ada selera berbeza. Jadi, kek memang menu wajib kami,” katanya.
Mengimbau kenangan Hari Natal semasa kecil, Marsha ketawa apabila mendedahkan pernah menerima hadiah berupa Mi segera.
“Saya masih ingat waktu itu ada tukar-tukar hadiah. Saya sangat gembira kerana dapat hadiah dengan saiz yang besar berbanding orang lain.
“Tapi rupa-rupanya, bungkusannya sahaja yang besar. Isi hadiahnya kecil sahaja iaitu sepeket mi segera. Awalnya saya sedih, tapi bila difikirkan semula mujurlah mi segera itu saya suka perisanya,” tambahnya lagi.