PONTIAN: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini melancarkan hibrid baharu nanas yang disifatkan terbaik pernah dihasilkan negara, iaitu MS16.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, M16 terhasil daripada kacukan induk nanas Josapine dan nanas tanpa duri dari Australia yang mengambil masa 10 tahun dibangunkan MARDI di stesennya, di sini.
Katanya, keistimewaan nanas MS16 adalah rasa nanasnya yang lebih manis berbanding varieti manis lain, ranggup dan tidak lidas selain purata beratnya adalah 1.5 kilogram (kg) setiap biji.
“ Malah nanas MS16 adalah varieti yang tahan panas selain toleran kepada penyakit reput teras bakteria yang lazimnya menjadi musuh utama pengusaha nanas di negara ini,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian pada majlis pelancaran nanas MS16 di Stesen Penyelidikan Mardi Pontian, disini, pagi ini.
Pelancaran hibrid nanas baharu MS16 itu disempurnakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri dan Asas Tani Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip dan Pegawai Daerah Pontian, Zainal Eran.
Mohamad Zabawi menambah, pelancaran nanas hidbrid baharu MS16 itu dijangka bakal menjadi ‘game changer’ industri nanas negara.
“ Apatah lagi katanya, Johor adalah pengeluar nanas terbesar negara dengan kebanyakan ladang nanas berada di Pontian,” ujarnya.
Katanya, MARDI memaklumkan hibrid baharu nanas MS16 ini adalah varieti terbaik nanas yang pernah dikeluarkan di negara kita kerana rasanya yang sangat enak dan lebih manis.
Sementara itu, Zahari berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan penanaman nanas MS16 yang dijangka mula memasuki pasaran pada tahun 2025
Katanya, pada masa yang sama negeri Johor pada masa hadapan mempunyai perancangan untuk memasarkannya ke negara China, dan adanya pelbagai varieti nanas dalam pasaran yang merupakan satu perkembangan yang positif.
“Johor juga sedang berusaha sedang meningkatkan tanaman nanas dan yakin nanas MS16 ini menjadi yang terbaik setelah menjalani 10 tahun penyelidikan.
“Pengeluaran nanas Johor tahun lalu merekodkan 402,000 tan metrik melalui keluasan tanaman sebanyak 11,399 hektar dengan nilai eksport sebanyak RM1.2 bilion setiap tahun,” katanya. –UTUSAN